Antarabangsa
Lima bilion manusia akan mati jika perang nuklear berlaku
Seramai lima bilion manusia akan mati jika berlaku perang nuklear antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, kata satu kajian terbaru.
- Kematian tersebut akibat kebuluran dan kelaparan.
- Letupan nuklear akan menyebabkan kebakaran besar-besaran dan menyuntik jelaga ke atmosfera.
- Suntikan jelaga tersebut akan menghalang cahaya matahari dan ini akan mengehadkan pengeluaran makanan.
- kajian dibuat berdasarkan pengiraan pada saiz senjata nuklear di setiap negara.
WASHINGTON – Seramai lima bilion manusia akan mati jika berlaku perang nuklear antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, kata satu kajian terbaru.
Kajian terbaharu itu dilakukan oleh Universiti Rutgers, AS dan merupakan penyelidikan pertama dilakukan berhubung kesannya di dunia.
Menurut kajian itu, manusia akan mati akibat kebuluran dan kelaparan selepas perang nuklear tersebut berlaku.
Letupan senjata nuklear akan menyebabkan kebakaran besar-besaran dan menyuntik jelaga ke atmosfera, menghalang cahaya matahari daripada sampai ke permukaan dan mengehadkan pengeluaran makanan yang membawa kepada kematian, kata kajian itu seperti dilaporkan akhbar USA Today pada Isnin.
“Data memberitahu kami satu perkara. Kita mesti menghalang perang nuklear daripada berlaku,” kata Lili Xia iaitu seorang saintis iklim di Universiti Rutgers yang mengetuai penyelidikan tersebut memberitahu Nature.com.
Para penyelidik membuat kajian tersebut berdasarkan pengiraan mereka pada saiz senjata nuklear setiap negara.
Sembilan buah negara termasuk United Kingdom kini mengawal lebih daripada 13,000 senjata nuklear.
Sumber: Sinar Harian