Antarabangsa
Lagi Islamofobia, taman tema air di Kanada larang ibu Muslim dan anak ‘berburkini’
Seorang wanita beragama Islam dan dua anak perempuannya tidak dibenarkan mandi di sebuah kolam di taman tema air di Kanada hanya kerana mereka memakai burkini.

- Seorang wanita dan dua anaknya tidak dibenarkan mandi di kolam taman tema air hanya kerana memakai burkini.
- Kejadian berlaku Jumaat lalu di Resort Lilac yang terletak di ibu kota wilayah selatan Manitoba, Winnipeg.
- Mangsa, Halima Jelloul berkata pemilik resort tidak membenarkan mereka menaiki gelongsor air disebabkan pakaian mereka.
KANADA – Seorang wanita beragama Islam dan dua anak perempuannya tidak dibenarkan mandi di sebuah kolam di taman tema air di Kanada hanya kerana mereka memakai burkini.
Menurut laporan CTV, Halima Jelloul bersama-sama suami dan dua anak perempuannya menempah satu bilik di Resort Lilac di Winnipeg, ibu kota wilayah selatan Manitoba pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, keluarga Halima dimaklumkan mereka tidak boleh memasuki kolam kerana memakai burkini iaitu pakaian renang wanita yang menutupi seluruh badan, kecuali tangan, muka dan kaki.
“Setelah 10-15 minit, kami didatangi pemilik resort itu yang tidak membenarkan saya dan anak-anak menaiki gelongsor air disebabkan pakaian kami,” kata Halima.
“Anak-anak saya menangis. Ini bukanlah detik-detik yang menyenangkan jadi saya terpaksa berbincang dengan anak-anak bagi memastikan samada mereka masih mahu meneruskan percutian atau mahu pulang,” katanya.
Halima mengakui dengan memakai burkini, keluarganya selalu mencuri perhatian di pantai, namun kesedaran haruslah dipupuk.
“Semestinya rasa tak selesa tetapi saya tidak terkejut dengan apa yang berlaku,” kata anaknya, Salma Douida.
“Dan saya rasa sepatutnya perempuan Islam atau sesiapa sahaja berhak memakai pakaian sopan, dan sekiranya perkara begini berlaku, mereka haruslah bersuara,” kata remaja perempuan berumur 14 tahun itu.
Larangan wanita Muslim memakai burkini ke pantai atau kolam, yang mana bermula di Perancis pada 2016 sebelum merebak ke beberapa negara Eropah, juga didesak untuk dikuatkuasakan di Kanada pada waktu itu.
Bagaimanapun di wilayah Quebec, yang pro-amalan di Perancis, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau telah menolak pengharaman burkini.
Sumber: TRT World
