Terkini
Kerajaan harus pandang serius gesaan tiga mufti haram muslim terlibat perkhidmatan arak – Timbalan Menteri Agama
Cadangan dan gesaan tiga orang mufti yang mahukan satu polisi jelas diwujudkan untuk mengharamkan penglibatan pekerja muslim dalam sebarang perkhidmatan atau penjualan minuman keras wajar dipertimbangkan oleh kerajaan dengan serius.
- “Kerajaan wajar pertimbangkan gesaan tiga mufti berkaitan haramkan pekerja muslim terlibat perkhidmatan arak dengan serius,” -Timbalan Menteri Agama
- Pengharaman arak bagi umat Islam adalah perkara yang jelas dalam syariat Islam.
- Setelah 65 tahun kita merdeka, tidak wajar rakyat berbilang kaum yang tinggal di negara majoriti muslim masih tidak faham dengan sensitiviti umat Islam, antaranya isu arak ini.
- “Isu arak ini tidak ada kena mengena isu politik. Ia adalah suatu hukum qat’ie yang jelas termaktub dalam syariat Islam, berdasarkan nas al-Quran dan Hadis.”
- “Rasulullah saw melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah,yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.” Riwayat al-Tirmizi ( 1295)
KUALA LUMPUR – Cadangan dan gesaan tiga orang mufti yang mahukan satu polisi jelas diwujudkan untuk mengharamkan penglibatan pekerja muslim dalam sebarang perkhidmatan atau penjualan minuman keras wajar dipertimbangkan oleh kerajaan dengan serius.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pengharaman arak bagi umat Islam adalah perkara yang jelas dalam syariat Islam.
“Manakala tanggungjawab sesebuah kerajaan pula adalah “hirasatuddin wa siyasatuddunya bihi”, memelihara agama Islam dan menguruskan dunia dengannya.
Justeru, dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, cadangan tersebut wajar untuk dipertimbangkan oleh kerajaan dengan serius,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau turut menambah bahawa semua umat Islam pastinya tidak mahu ada saudara seagamanya yang terjebak dengan perkara haram. Apatah lagi bila kita diberikan kuasa sebagai pemerintah.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, setelah 65 tahun kita merdeka, adalah tidak wajar sebagai rakyat berbilang kaum yang tinggal di dalam sebuah negara majoriti muslim masih tidak faham dengan perkara-perkara yang menjadi sensitiviti umat Islam, antaranya isu arak ini.
“Isu arak ini tidak ada kena mengena isu politik. Ia adalah suatu hukum qat’ie yang jelas termaktub dalam syariat Islam, berdasarkan nas al-Quran dan Hadis. Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً : عَاصِرَهَا ، وَمُعْتَصِرَهَا ، وَشَارِبَهَا ، وَحَامِلَهَا ، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ ، وَسَاقِيَهَا ، وَبَائِعَهَا ، وَآكِلَ ثَمَنِهَا ، وَالمُشْتَرِي لَهَا ، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
Maksudnya : “Rasulullah saw melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah,yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.” Riwayat al-Tirmizi ( 1295)
Katanya, hadis ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam, dari sudut hukumnya, adalah dilarang sama sekali terlibat dengan apa sahaja yang berkaitan dengan arak termasuk bekerja di premis yang menjual arak.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan gesaan tiga orang mufti tersebut yang terdiri daripada Mufti Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Nor serta Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman juga Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang terlebih dahulu membangkitkan isu berkenaan pada awal tahun ini.
Sebelum ini, gesaan tersebut turut disokong oleh beberapa individu lain iaitu Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia,Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.