Ekonomi
‘Buy Now Pay Later’ berisiko menjerat pengguna ke lubuk hutang
Platform dalam talian Beli Sekarang Bayar Kemudian atau BNPL semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, khususnya orang muda dengan aplikasi mudah alih bersepah dan sedia dimuat turun.
- Kaedah Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) dalam urusan jual beli secara online berisiko menjerat pengguna ke ‘lubuk hutang’.
- BNPL membimbangkan kerana tidak dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).
- Nilai transaksi pasaran BNPL membabitkan 10 penyedia BNPL bukan bank di Malaysia.
- Nilai transaksi pasaran BNPL membabitkan 10 penyedia BNPL bukan bank di Malaysia, melonjak kepada RM1.49 bilion pada 2021 berbanding hanya RM55 juta pada 2020 beri gambaran peningkatan populariti platform itu dalam kalangan masyarakat di negara ini.
KUALA LUMPUR – Platform dalam talian Beli Sekarang Bayar Kemudian atau BNPL semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, khususnya orang muda dengan aplikasi mudah alih bersepah dan sedia dimuat turun.
Sepertimana cogan kata, pengguna boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan tanpa membuat pembayaran dahulu dengan prosedurnya semudah ABC, hanya perlukan kad pengenalan dan pengesahan wajah pembeli bagi tujuan pendaftaran dan 10 minit kemudian seseorang sudah boleh berbelanja.
Namun, bagai ada udang di sebalik batu, BNPL sebenarnya berisiko menjerat pengguna ke ‘lubuk hutang’, kata penganalisis.
“Saya melihat BNPL satu gejala membimbangkan kerana (buat masa ini) tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), sekali gus memudahkan individu terjebak dengan hutang, terutama mereka yang tidak ada pengetahuan atau pengurusan kewangan yang bagus,” ulas Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Bercakap kepada Bernama di sini, penganalisis ekonomi daripada Putra Business School itu berkata tarikan utama BNPL ialah seseorang boleh berbelanja tanpa had dan tidak menjejaskan skor kredit sekalipun individu berkenaan gagal melunaskan pembayaran.
“Sekiranya seseorang itu gagal menjelaskan hutang barangan di satu penyedia BNPL, mereka boleh berhutang dengan penyedia BNPL lain kerana tidak ada rekod, sekali gus merisikokan mereka terjebak dalam kancah hutang yang banyak,” jelasnya.
Kenyataan penganalisis itu bukan omong kosong kerana menurut laporan media, nilai transaksi pasaran BNPL membabitkan 10 penyedia BNPL bukan bank di Malaysia, melonjak kepada RM1.49 bilion pada 2021 berbanding hanya RM55 juta pada 2020, mencerminkan peningkatan populariti platform tersebut dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Selepas mencuba sendiri membeli-belah melalui BNPL, penulis akui aktiviti itu berpotensi mendedahkan ‘kaki shopping’ khususnya, ke kancah hutang, kerana berurus niaga di platform BNPL amat mudah dan ‘mengasyikkan’ berikutan banyak diskaun dan promosi ditawarkan sehingga penulis sendiri berani menambah komitmen hutang.
Lebih-lebih lagi pembayaran boleh dilakukan secara ansuran dan penulis menggunakan kaedah itu untuk berhutang, membeli satu papan kekunci tablet berharga RM299 yang kemudian diberikan diskaun RM25, dengan bayaran bulanan RM68.50 selama empat bulan.
Ahmed Razman melihat strategi urus niaga itu sebagai satu bentuk pinjaman peribadi.
“Golongan peniaga nampak perkara ini (BNPL) sebagai satu cara untuk memudahkan orang ramai membeli kerana bukan semua (pembeli) ada kad kredit.
“Jadi, peniaga mula mempraktikkan BNPL ini, bermakna pembeli sekarang sudah ada pilihan untuk membeli dengan berhutang menggunakan BNPL walaupun tiada kad kredit,” katanya.
Sumber: Sinar Harian