Terkini
Rampasan aset Petronas, Malaysia tangguh tuntutan waris Sultan Sulu
Kenyataan tersebut dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
- Mahkamah Rayuan Paris luluskan permohonan Malaysia gantung pelaksanaan final award bertarikh 28 Februari.
- Kesannya, final award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara hingga keputusan muktamad permohonan pembatalan final award diputuskan.
- Asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah final award akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
- Perintah penggantungan itu hasil pelbagai tindakan perundangan kerajaan Malaysia.
- Kenyataan tersebut dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
SHAH ALAM – Kerajaan Malaysia telah berjaya mendapatkan perintah penggantungan pada Selasa apabila Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan final award bertarikh 28 Februari lalu, lapor Sinar Harian pada petang Rabu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesan daripada perintah penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris itu, final award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara.
Menurutnya, penggantungan itu adalah sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan final award yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.
“Final award yang telah dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa (Perintah Penggantungan) berikutan tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan ‘successors-in-interest’ kepada Sultan Jamalul Kiram II (penuntut) melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.
“Asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah final award tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
“Perintah penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada 11 Julai 2022, dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan final award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.
Bagaimanapun katanya, Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang.
“Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf tuntutan tersebut dan tidak pernah mengenepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.
“Berikutan itu, kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan-tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol.
“Ia termasuklah membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah deklarasi dan injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020, iaitu permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengetepikan Partial Award on Jurisdiction bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan oleh Dr Stampa,” jelasnya.
Jelas Wan Junaidi, berikutan tindakan-tindakan perundangan yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol pada 29 Jun 2021 telah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr. Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara dan apa-apa keputusan Dr. Stampa, termasuk final award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.
Dr. Stampa juga katanya, tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan-keputusan Mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara (seat of arbitration) ke Paris.
“Pada 29 September 2021, pihak penuntut telah memperoleh Perintah Exequatur secara ex parte daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis yang telah mengiktiraf partial award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu, membenarkan Dr. Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.
“Kerajaan Malaysia telah mencabar Perintah Exequatur yang diperolehi secara ex parte tersebut dan telah berjaya memperoleh perintah penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First President of the Paris Court of Appeal.
“Ini bermakna, pihak penuntut terhalang daripada bergantung kepada Perintah Exequatur yang diperolehi pada 29 September 2021. Bertentangan dan bercanggahan dengan perintah penggantungan tersebut, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur tersebut berkuat kuasa dan final award telah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis,” jelasnya.
Pada masa sama, prosiding jenayah terhadap Dr. Stampa juga difailkan oleh kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan prosiding bagi perkara ini masih berjalan.
Jelasnya, berikutan kejayaan kerajaan Malaysia mendapatkan perintah penggantungan final award pada 12 Julai, Kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk perbicaraan bagi pembatalan final award yang mana tarikhnya belum ditetapkan.
“Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan tersebut dan memastikan agar kepentingan, kekebalan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” tegasnya.
Sumber : Sinar Harian
Antarabangsa
Israel bom depot senjata berdekatan pangkalan udara Russia di Syria
Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
- Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
- Insiden itu berlaku berhampiran Pangkalan Udara Khmeimim Russia dan Lapangan Terbang Bassel al-Assad di Jableh, Syria.
- Terdapat dakwaan bahawa pesawat Russia terlibat dalam usaha memintas peluru berpandu di kawasan itu.
- Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Pertahanan udara Russia dan Syria memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit di Latakia, lapor Sky News Arabia.
Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
Insiden itu berlaku berhampiran Pangkalan Udara Khmeimim Russia dan Lapangan Terbang Bassel al-Assad di Jableh, Syria.
Terdapat dakwaan bahawa pesawat Russia terlibat dalam usaha memintas peluru berpandu di kawasan itu.
Pertahanan udara Russia dan Syria dilaporkan memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit.
Terdapat dakwaan bahawa pertahanan udara memintas peluru berpandu di luar pantai Jableh, sebuah bandar di barat laut Syria, dengan anggaran 30 peluru berpandu dilancarkan.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Pertahanan udara Russia dan Syria memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit di Latakia, lapor Sky News Arabia.
Laporan tempatan lain mencadangkan sebuah pesawat Iran di lapangan terbang mungkin turut menjadi sasaran.
Israel yang sering menjalankan operasi terhadap sasaran berkaitan dengan Iran di Syria belum memberikan sebarang komen mengenai insiden letupan itu. — The Merdeka Times