Antarabangsa
Misi China ‘claim’ bulan miliknya perlu dibimbangi semua pihak – NASA
Beliau juga mendakwa China akan menggunakan pangkalan di bulannya untuk mengkaji kemungkinan menembak jatuh satelit negara lain.
- Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengeluarkan kenyataan bahawa China mahu tuntut bulan sebagai haknya.
- Penerokaan angkasa lepas China itu harus dibimbangi semua pihak.
- Negara kuasa besar itu berkemungkinan menembak jatuh satelit-satelit negara lain.
- China akan bekerjasama dengan Rusia dalam misi ke bulan pada tahun 2025.
WASHINGTON – Pentadbir Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Bill Nelson baru-baru ini menyatakan China mahu menuntut bulan sebagai haknya.
Nelson yang juga merupakan bekas senator Amerika Syarikat (AS) membuat kenyataan itu dalam temubual dengan akhbar Bild di Jerman.
Beliau berkata bahawa penerokaan angkasa lepas China harus menjadi kebimbangan semua pihak.
Ini kerana pada suatu hari nanti, Beijing didakwa akan mendarat di bulan dan menyatakan ia adalah miliknya.
Beliau juga mendakwa China akan menggunakan pangkalan di bulannya untuk mengkaji kemungkinan menembak jatuh satelit negara lain.
Namun, Nelson tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya itu.
China sebelum ini menyatakan bahawa ia merancang untuk menghantar angkasawan ke bulan menjelang tahun 2025 dan bertapak di sana menjelang tahun 2035 melalui kerjasama dengan Rusia.
Beijing menghantar sebuah kapal angkasanya untuk mendarat di bulan pada tahun 2020.
AS juga mempunyai rancangan yang sama, termasuk menubuhkan pangkalan di bulan. – Agensi
(Sumber: Sinar Harian)