Kolumnis
Mengapa pengedar dadah dihukum mati?
Seorang rakyat Malaysia, Kalwant Singh dilaporkan telah menjalani hukuman mati di Singapura atas kesalahan memiliki 60.15 gram diamorfin dan mengedar 120.9 gram dadah tersebut.
- Seorang rakyat Malaysia, Kalwant Singh menjalani hukuman mati di Singapura atas kesalahan miliki dan edar dadah.
- Undang-undang di Malaysia turut menjalankan hukuman mati untuk beberapa kesalahan berat.
- Aktivis penentang hukuman mati menganggapnya sebagai satu bentuk pencabulan hak asasi manusia dan tidak berperikemanusiaan.
- Dadah runtuhkan institusi kekeluargaan, melemahkan ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara.
- Hukuman mati dilihat masih relevan, namun institusi keadilan memainkan peranan bagi menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan penjenayah yang menyalahi aturan sistem kemasyarakatan, dan pada masa sama menggerunkan masyarakat untuk melakukan kesalahan yang sama.
Seorang rakyat Malaysia, Kalwant Singh dilaporkan telah menjalani hukuman mati di Singapura atas kesalahan memiliki 60.15 gram diamorfin dan mengedar 120.9 gram dadah tersebut.
Undang-undang di negara Malaysia turut menjalankan hukuman mati untuk beberapa kesalahan seperti mengedar dadah, membunuh, melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, terlibat dalam aktiviti keganasan dan menculik.
Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. Ini bermakna sekiranya undang-undang telah menetapkan hukuman mati bagi pesalah, ia dikira tidak melanggar hak asasi di bawah peruntukan perlembagaan tersebut sekiranya dijatuhkan ke atas tertuduh.
Aktivis penentang hukuman mati berhujah bahawa hukuman mati adalah satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Namun begitu, tidak dinafikan masih ramai yang menyokong pelaksanaan hukuman mati.
Jika diteliti, kegiatan mengedar dadah menjadi punca utama kepada isu ketagihan dadah. Penagih tidak boleh wujud sekiranya pengedar dadah tidak wujud. Masalah ketagihan ini seterusnya akan memberi kesan buruk bukan hanya kepada penagih, malah ia juga akan menjejaskan keamanan dan keselamatan segenap lapisan masyarakat.
Dadah adalah musuh paling jahat yang berupaya meruntuhkan institusi kekeluargaan, melemahkan kekuatan ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara. Ia turut menjadi punca kepada jenayah lain seperti rompak, curi dan bunuh.
Keseriusan kesalahan berkaitan dadah tercermin dalam undang-undang dadah Malaysia, yang mempunyai hukuman sangat keras bagi pengedar dadah.
Secara khusus, beberapa undang-undang dadah telah digubal untuk menangani masalah dadah:
(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (undang-undang dadah utama),
(2) Akta Racun 1952 (bertujuan mengawal bahan, yang berada dalam Senarai Racun),
(3) Akta Tanggungan Dadah 1983 (memberi tumpuan kepada memberi rawatan dan pemulihan kepada penyalahgunaan dadah),
(4) Akta Agensi Anti Dadah Kebangsaan 2004 (penubuhan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (NADA)
Justeru, hukuman paling berat seperti hukuman mati dilihat sebagai hukuman yang setimpal untuk golongan ini. Namun bukan mudah untuk seorang hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh. Hal ini kerana dalam setiap kes jenayah memerlukan beban pembuktian melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt). Sekiranya wujud sebarang keraguan, sukar untuk tertuduh disabit bersalah. Institusi keadilan memainkan peranan yang paling penting bagi memastikan tiada kes tersalah hukum.
Hukuman mati dianggap masih relevan untuk mengambil kira kepentingan hidup masyarakat dan negara. Hukuman yang dikenakan haruslah setimpal dengan perbuatan penjenayah yang menyalahi aturan sistem kemasyarakatan, dan pada masa sama menggerunkan masyarakat untuk melakukan kesalahan yang sama.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.