Terkini
“Lawak biadap budaya Barat, bukan Malaysia.” – Ahmad Farami
Demikian soalan yang diajukan oleh Ahmad Farami, Pensyarah Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Malaysia (UiTM) di laman Facebooknya.
- Ahmad Farami, Pensyarah Pengajian Media UiTM, tidak bersetuju dengan komedi biadap, kutuk bangsa seperti video yang sedang tular.
- Lawak berunsurkan hinaan dan stereotaip negatif sememangnya tidak beretika.
- Jika humor disebabkan perbezaan budaya atau situasi melucukan dalam interaksi harian ia tiada isu.
- Farami turut berkongsi wujud komen-komen mengatakan Malaysia tidak maju, jumud dan terlalu sensitif jauh berbeza dengan dunia barat yang menjadikan lawak biadap sebegitu sebagai budaya popular.
- Beliau turut menekankan kepentingan menghormati unsur-unsur tradisi Perlembagaan Persekutuan di Malaysia.
KUALA LUMPUR – ‘Salahkah guna material tentang kaum untuk stand-up comedy?’ Demikian soalan yang diajukan oleh Ahmad Farami, Pensyarah Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Malaysia (UiTM) di laman Facebooknya.
Menurutnya, lawak dibuat berunsurkan hinaan dan stereotaip negatif sememangnya tidak beretika sebaliknya jika humor yang tercetus disebabkan perbezaan budaya atau situasi melucukan dalam interaksi harian ia tiada isu.
“Laughing with the outgroup, not laughing at the outgroup,” katanya pada Selasa yang menjadikan Almarhum Jamali Shadat sebagai contoh pelawak yang mahir menggunakan material kemajmukan etnik.
“Ada stereotaip yang digunakan, tapi berkisar bahasa dan budaya. Eccentricities dan idiosyncrasies satu-satu kumpulan sosial jadi lelucon. Ini juga digunakan dalam sitkom Kampung Seri Wangi dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.”
“Bukan komedi biadap, kutuk bangsa seperti video-video yang sedang tular,” kata Ahmad Farami.
Farami turut berkongsi tentang wujud komen mengatakan Malaysia belum maju, jumud sebab terlalu sensitif jauh berbeza dengan dunia barat apabila komedi seperti video biadap yang telah tular itu sudah menjadi satu budaya popular di sana.
Komen tersebut turut mengangkat nama Russel Peters, Louis CK, Gabriel Iglesias yang dikatakan boleh sahaja melawak menggunakan stereotaip kaum.
Farami berpandangan, komen sebegitu menunjukkan tahap dan bentuk pemikiran mereka.
“Satu, pemikiran bahawa Barat patut jadi piawaian kita, termasuk kaedah berjenaka. Mungkin dirasakan Barat progresif. Kedua, mungkin kesan cultural imperialism yang berlaku tanpa sedar.”
Tambah beliau lagi membidas komen tersebut, “Komedi di Barat, anything goes. Tiada yang sakral. Di sini, kita junjung agama. Kita hormat unsur-unsur tradisi Perlembagaan Persekutuan.”
Farami sedar kenyataan tersebut mungkin bersifat klise namun kesopanan dan kesusilaan adalah panduan.
“Kita maju dalam acuan kita sendiri, beradab. Ini etika relativisme budaya yang perlu difahami pelawak dan penyokong jenaka no-holds-barred Barat.
“Tapi kalau sudah dijajah sensibiliti dan minda, ini sukar difahami dan diterima. Amerika adalah kiblat komedi mereka.”
Sumber : Facebook Ahmad Farami