Kolumnis
Benarkah Yasin terlepas daripada hukuman mati?
Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman barangkali menarik nafas lega apabila dilaporkan terlepas dari hukuman mati, demikian tajuk-tajuk utama media tempatan hari ini.
- Penyanyi nasyid, Muhammad Yasin Sulaiman dilaporkan terlepas dari hukuman mati.
- Mahkamah telah melepas tanpa membebaskannya dari kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Kerajaan Malaysia memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah pada 10 Jun lalu.
- Hukuman mati tidak lagi dijadikan satu-satunya hukuman yang boleh dan wajib dikenakan kepada pesalah di bawah peruntukan akta berkenaan.
- Yasin terlepas daripada hukuman mati mandatori, tapi belum bebas sepenuhnya.
Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman barangkali menarik nafas lega apabila dilaporkan terlepas dari hukuman mati, demikian tajuk-tajuk utama media tempatan hari ini.
Mahkamah telah melepas tanpa membebaskannya (discharge not amounting to an acquittal (DNAA)) Yasin daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234], yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.
Umum tahu bahawa Kerajaan Malaysia memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah pada 10 Jun lalu.
Keputusan ini dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam mesyuarat Kabinet pada 8 Jun 2022.
Wan Junaidi mengesahkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap kesalahan-kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.
Tindakan ini diambil bagi memastikan pindaan akta-akta berkaitan mengambil kira prinsip perkadaran (proportionality) dan berperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada kerajaan pada masa akan datang. Kedua-duanya penting dalam usaha memastikan hukuman yang dikenakan tidak melampaui batas di samping mematuhi prinsip perlembagaan.
Kini, hukuman mati tidak lagi dijadikan satu-satunya hukuman yang boleh dan wajib dikenakan ke atas individu yang didapati bersalah di bawah peruntukan akta berkenaan.
Hakikatnya, tertuduh masih boleh dikenakan hukuman mati sekiranya hakim menetapkan hukuman sebegitu.
Di sebalik pemansuhan ini, lebih ruang diberikan kepada institusi kehakiman dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah.
Walau bagaimanapun, para hakim masih terikat dengan garis panduan ditetapkan setiap kali menentukan jenis hukuman yang akan dijatuhkan.
Bagi kes tertuduh yang dilepaskan tanpa dibebaskan, pihak pendakwaan diberi kuasa untuk menggugurkan atau menarik balik tuduhan di mana-mana peringkat perbicaraan sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 254 (1) Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593].
Jadi, pendakwa raya masih mempunyai kuasa untuk mendakwa semula tertuduh pada bila-bila masa. Perkara ini bukannya hal luar biasa memandangkan mahkamah tidak boleh membebaskan tertuduh sebelum mendengar keterangan saksi dan melihat merit kes.
Ini bermakna Yasin terlepas daripada hukuman mati mandatori, tapi beliau masih belum bebas sepenuhnya. — The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.