Antarabangsa
Bekas sami rasuah wartawan demi sembunyi skandal seks
Pongsakorn Chankaeo, berumur 23 tahun, merupakan bekas sami Buddha yang baru-baru ini terpalit dengan skandal seks yang telah menghancurkan persepsi baik warga Thailand terhadap golongan sami.

- Pongsakorn Chankaeo, bekas sami Buddha terpalit dengan skandal seks yang menghancurkan persepsi baik warga Thailand terhadap golongan sami.
- Dia meminjam sejumlah 600,000 baht dari pihak kuil untuk membayar beberapa pihak bagi merahsiakan skandal tersebut.
- Skandal tersebut terdedah apabila perbualannya dalam sebuah rakaman audio terdedah.
- Rakaman tersebut mendedahkan bahawa bekas sami terbabit telah mengadakan hubungan intim dengan seorang wanita beberapa kali.
NAKHON SI THAMMARAT – Pongsakorn Chankaeo, berumur 23 tahun, merupakan bekas sami Buddha yang baru-baru ini terpalit dengan skandal seks yang telah menghancurkan persepsi baik warga Thailand terhadap golongan sami.
Berikutan insiden kebocoran rakaman audio perbualan mengenai hubungan seks rahsianya dengan seorang wanita, Pongsakorn telah meninggalkan kuil Wat Pen Yat di daerah Chawang dan menjalani kehidupan berasingan sejak itu.
Rakaman tersebut mendedahkan bahawa bekas sami terbabit telah mengadakan hubungan intim beberapa kali dengan wanita tersebut di dalam sebuah kereta di puncak empangan Kathoon di daerah Phiphun.
Ketika ditemu bual salah sebuah program TV, Pongsakorn mengakui salah lakunya sejak tiga bulan lalu dan memberi kira-kira 300,000 baht kepada wanita berusia 37 tahun itu untuk menamatkan hubungan kontroversi mereka setelah wanita itu berulang kali menuntut wang darinya.
Selain itu, terdapat laporan menyatakan bahawa Pongsakorn turut membayar 300,000 baht lagi kepada seorang wartawan untuk mengunci mulutnya dan tidak memberitahu siapapun mengenai skandal tersebut.
“Pongsakorn ada meminjam wang dari kuil, tetapi pihak kuil tidak tahu apa yang dia mahu lakukan dengan duit itu”, ujar Wasanti Jongruay, pengarah Wat Pen Yat.
Walau bagaimanapun, pihak kuil mengesahkan bahawa bekas sami terbabit telah memulangkan wang pinjaman sebanyak 600,000 baht kepada mereka.
Pongsakorn membuat keputusan untuk menjadi sami pada 2017 dan mempunyai ramai pengikut di media sosial kerana warga maya tertarik dengan caranya yang menghiburkan dalam menyampaikan ajaran agama Buddha.
Sumber: Bangkok Post

You must be logged in to post a comment Login