Ekonomi
Bangga, anak Malaysia cipta komposit getah untuk belon aeroangkasa!
Hasil penyelidikan yang diterajui anak Malaysia berjaya mencipta komposit getah generasi baharu yang akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan merupakan yang pertama seumpamanya di dunia, demikian kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

- Hasil penyelidikan diterajui anak Malaysia yang berjaya mencipta komposit getah generasi baharu merupakan pencapaian yang membanggakan.
- Penemuan ini membolehkan Malaysia meneroka lebih banyak pasaran baru. Selain industri getah, Malaysia juga sudah mengorak langkah dalam pensijilan hutan tropika, produk kayu dan perabot.
KUALA LUMPUR – Hasil penyelidikan yang diterajui anak Malaysia berjaya mencipta komposit getah generasi baharu yang akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan merupakan yang pertama seumpamanya di dunia, demikian kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail berkata komposit getah generasi baharu itu dicipta hasil kombinasi ekstrak graphene dan getah asli menerusi penyelidikan dengan kerjasama universiti terkemuka dunia.
“Penemuan baharu ini membolehkan Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baharu yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara,” jelasnya semasa berucap merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 pada Selasa.
Di samping itu, Malaysia turut dikenali sebagai pengeksport getah asli dan barangan getah yang berkualiti tinggi terutama sarung tangan getah yang telah menembusi hampir 190 negara.
“Sejajar dengan evolusi yang berlaku dalam rantaian penghasilan produk getah masa kini, Malaysia telah mempelbagaikan produk berasaskan getah terutama yang bernilai tinggi,” katanya.
Selain itu, Ismail memberitahu bahawa Malaysia juga menjadi perintis dalam pelaksanaan pensijilan hutan tropika, dikenali sebagai Skim Pensijilan Kayu Malaysia yang diiktiraf dan diperakui negara-negara dunia.
“Malah produk kayu bersijil dari Malaysia telah digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020,” ujarnya lanjut.
Beliau turut memberitahu bahawa sektor perabot negara juga sedang melalui transformasi dan mampu menghasilkan reka bentuk perabot yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa di bawah label Tanggam.
Sumber: Sinar Harian
Ekonomi
Rasuah punca harga barang naik
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) senada dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kewujudan amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan di Malaysia merupakan antara faktor penyumbang utama kenaikan kos sara hidup rakyat.

- Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) senada dengan pandangan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan di Malaysia merupakan faktor penyumbang kenaikan kos sara hidup rakyat.
- Perkara itu dibuktikan menerusi kertas kerja Coalition for Business Integrity (CBI) yang mengenal pasti proses pembekalan barangan dan perkhidmatan yang punya unsur rasuah. – Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh
- Ujarnya, rasuah memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat melalui inflasi buatan sehingga meningkatkan kos sara hidup.
- Rasuah juga menyumbang kepada tahap inflasi harga yang lebih tinggi serta menekan pendapatan orang ramai, sekali gus menggalakkan banyak rasuah membawa kepada kitaran ganas penindasan terhadap rakyat. – Ketua Pegawai Eksekutif CBI, Mark Chay
SHAH ALAM: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) senada dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kewujudan amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan di Malaysia merupakan antara faktor penyumbang utama kenaikan kos sara hidup rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, perkara itu dibuktikan menerusi satu kertas kerja oleh Coalition for Business Integrity (CBI) yang mengenal pasti proses pembekalan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai unsur rasuah akan menyebabkan peningkatkan kos.
Beliau berkata, ekoran kos pengurusan perniagaan yang semakin meningkat, kesannya terpaksa ditanggung oleh rakyat sebagai pengguna akhir.
Menurut beliau, hasil dapatan daripada kertas kerja itu juga mendedahkan bagaimana rasuah memberi kesan kepada kos sara hidup pengguna, melalui penciptaan tekanan menaik ke atas harga barangan dan perkhidmatan pengguna.
“Penyelidikan kolaboratif ini mendapati bagaimana rasuah sistemik bukan suatu yang hanya memberi kesan kepada peringkat tertinggi masyarakat, malah sebenarnya turut memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat melalui inflasi buatan sehingga meningkatkan kos sara hidup.
“Dengan tumpuan pada sektor pembinaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan, penyelidikan dilakukan oleh IDEAS dan CBI ini juga mendapati bahawa pemberian habuan adalah satu bentuk rasuah yang paling biasa dalam sektor swasta dan awam.
“Namun begitu, terdapat juga bentuk-bentuk rasuah lain termasuk perbuatan peras ugut, penyelewengan, penipuan, penyalahgunaan budi bicara serta sifat pilih kasih,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CBI, Mark Chay turut sependapat dengan Dr Mahathir dan menegaskan bahawa pelbagai masalah yang dihadapi Malaysia adalah berpunca daripada kekurangan integriti yang berleluasa dalam menguruskan sumber-sumber negara.
Beliau berkata, amalan rasuah dan salah guna kuasa telah mengganggu persaingan sihat, menyekat pembangunan sektor swasta, menyebabkan halangan kemasukan para pelabur asing, menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam serta menghasilkan perbelanjaan kerajaan yang tidak cekap.
Tambah beliau, perbuatan rasuah juga menyumbang kepada tahap inflasi harga yang lebih tinggi serta menekan pendapatan orang ramai, sekali gus menggalakkan lebih banyak rasuah yang membawa kepada kitaran ganas penindasan terhadap rakyat.
“Salah satu sebab punca kos sara hidup naik adalah disebabkan oleh rasuah apabila perkara itu berkait rapat dengan isu kos melaksanakan perniagaan.
“Ini berlaku apabila urusan perniagaan diselitkan dengan keperluan untuk merasuah, malah perbuatan jijik rasuah ini dikira sebagai kos pengurusan perniagaan.
“Semua itu seterusnya dikembalikan dan disalurkan kepada masyarakat atau dikenali sebagai trickle-down effect,” katanya.
Pada sidang media selepas menghadiri Forum Usahawan Bumiputera, ‘Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan’ di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Sabtu, Dr Mahathir menegaskan, kos sara hidup di Malaysia meningkat kerana rasuah yang berleluasa.
Menurut Dr Mahathir, apabila setiap urusan diselitkan elemen rasuah, ia menyebabkan harga barang dan perkhidmatan menjadi semakin mahal.
Sumber: Astroawani
-
Antarabangsa2 days ago
10 hakim berdepan hukuman mati di Arab Saudi
-
Terkini2 days ago
Larangan ke gereja adalah manifestasi disiplin Islam
-
Antarabangsa2 days ago
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
-
Antarabangsa2 days ago
Peguam nafi Zakir Naik diusir dari Oman