Terkini
Anak syarikat Petronas dirampas waris Kesultanan Sulu
Dua anak syarikat milik Petronas di Azerbaijan yang dianggarkan bernilai RM8.87 bilion dilaporkan dirampas oleh peguam yang mewakili waris kesultanan Sulu pada Isnin.
- Dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan bernilai RM8.87 bilion dilaporkan dirampas peguam mewakili waris Kesultanan Sulu pada Isnin.
- Tindakan itu sebahagian usaha perundangan selepas waris Kesultanan Sulu menuntut RM62.59 bilion daripada Malaysia sebagai pampasan berikutan proses timbang tara.
- Keturunan Sultan Sulu terakhir, sebelum ini memulakan proses timbang tara kerana Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.
- Bagaimanapun Malaysia tidak iktiraf tuntutan itu dan menolak sepenuhnya ‘Final Award’ kerana dakwaan pelanggaran Perjanjian 1878 antara Sultan Sulu ketika itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent.
- Perjanjian itu menyaksikan Borneo Utara (kini Sabah) diserahkan, sebagai balasan Sultan Sulu serta warisnya diberikan RM5,300 setiap tahun.
- Namun, Malaysia hentikan pembayaran pada 2013 susulan serangan bersenjata di Lahad Datu.
SHAH ALAM – Dua anak syarikat milik Petronas di Azerbaijan yang dianggarkan bernilai RM8.87 bilion dilaporkan dirampas oleh peguam yang mewakili waris kesultanan Sulu pada Isnin.
Lapor Sinar Harian pada Selasa, tindakan itu difahamkan sebahagian daripada usaha perundangan dilakukan waris Kesultanan Sulu yang sebelum ini membuat tuntutan bernilai RM62.59 bilion daripada Malaysia sebagai pampasan berikutan keputusan proses timbang tara.
Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, bailif di Luxembourg merampas kedua-dua syarikat berkenaan iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus bagi pihak pelanggannya.
Keturunan Sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, sebelum ini memulakan proses timbang tara sebagai tindak balas ke atas Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.
Bagaimanapun, Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu itu dan menolak sepenuhnya ‘Final Award’ dikeluarkan penimbang tara Dr. Gondoza Stampa atas dakwaan pelanggaran terhadap Perjanjian 1878 antara Sultan Sulu ketika itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent.
Perjanjian itu menyaksikan Sultan Sulu menyerahkan wilayahnya di Borneo Utara buat selama-lamanya, kini ia dikenali sebagai Sabah dan sebagai balasan Sultan Sulu serta warisnya diberikan wang serahan RM5,300 setiap tahun.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia menghentikan pembayaran tersebut pada 2013 susulan serangan bersenjata di Lahad Datu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mac lalu berkata, kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award berhubung isu tuntutan pihak mengaku sebagai waris Sultan Sulu pada 3 Mac lalu di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara.
Ismail Sabri berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan keputusan tersebut tidak boleh dikuatkuasakan selain memastikan Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan seperti yang dituntut.
Sumber : Sinar Harian