Connect with us

Terkini

Pekerja mungkin diberhentikan, PETRONAS diminta berterus-terang puncanya

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Bekas Menteri, Datuk Zaid Ibrahim
  • Bekas Menteri luahkan kebimbangan berkenaan isu sebahagian pekerja PETRONAS dilaporkan terpaksa diberhentikan kerana ia dianggap “perlu untuk memastikan PETRONAS dapat meneruskan kewajipannya dalam berkhidmat kepada kepentingan negara.”
  • Datuk Zaid Ibrahim berkata Presiden/CEO PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik perlu lebih berterus terang dalam hal ini tentang bagaimana sebuah syarikat bertaraf dunia secara tiba-tiba mempunyai terlalu ramai pekerja melainkan sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku.
  • Beliau juga mempersoalkan sama ada pengurangan kakitangan itu dilakukan disebabkan kehilangan pendapatan selepas kerajaan membiarkan PETRONAS ‘terkapai-kapai’ dalam rundingan dengan Sarawak ataupun ia disebabkan kerajaan enggan mencabar tindakan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS), yang jelas melanggar Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).
  • “Kita mempunyai tiga menteri yang bertanggungjawab dalam hal ini: Perdana Menteri yang mengawal Petronas, Menteri Ekonomi Rafizi, dan Fadillah Yusoff, Menteri Peralihan Air dan Tenaga. Namun, tiada seorang pun daripada mereka bercakap untuk menjelaskan situasi Petronas selain hanya menyatakan bahawa Sarawak kini adalah agregator tunggal gas,” katanya menerusi ciapan di X pada Ahad lalu yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

KUALA LUMPUR — Seorang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri meluahkan kebimbangan berkenaan isu sebahagian pekerja Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dilaporkan terpaksa diberhentikan kerana menganggap tindakan itu “perlu untuk memastikan PETRONAS dapat meneruskan kewajipannya dalam berkhidmat kepada kepentingan negara.”

Datuk Zaid Ibrahim berkata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik perlu lebih berterus terang dalam hal ini tentang bagaimana sebuah syarikat bertaraf dunia secara tiba-tiba mempunyai terlalu ramai pekerja melainkan sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pengurangan kakitangan itu dilakukan disebabkan kehilangan pendapatan selepas kerajaan membiarkan PETRONAS ‘terkapai-kapai’ dalam rundingan dengan Sarawak ataupun ia disebabkan kerajaan enggan mencabar tindakan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS), yang jelas melanggar Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).

“Sejak bila “autonomi” yang diberikan kepada Sarawak memerlukan kepentingan semua negeri dalam Persekutuan berkaitan minyak dan gas untuk dikompromi?

“Mungkinkah Petronas tidak dapat menggunakan semua saluran yang ada untuk mempertahankan kepentingannya dan memastikan pengaturan yang adil antara dirinya dan Petros?

“Kita mempunyai tiga menteri yang bertanggungjawab dalam hal ini: Perdana Menteri yang mengawal Petronas, Menteri Ekonomi Rafizi, dan Fadillah Yusoff, Menteri Peralihan Air dan Tenaga. Namun, tiada seorang pun daripada mereka bercakap untuk menjelaskan situasi Petronas selain hanya menyatakan bahawa Sarawak kini adalah agregator tunggal gas,” katanya menerusi ciapan di X pada Ahad lalu yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Foto: Tangkap layar ciapan Zaid Ibrahim di X.

Zaid Ibrahim berkata beliau bersimpati dengan para teknokrat Melayu yang cerdas dan mengetuai organisasi besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan PETRONAS.

“Saya pasti mereka sedar akan tanggungjawab fidusiari mereka kepada syarikat/organisasi yang mereka berkhidmat serta tanggungjawab yang lebih besar sebagai pemegang amanah kepada rakyat negara ini.

“Namun, kuasa politik sering menguasai mereka. Apa yang mereka boleh lakukan?,” katanya.

Beliau juga menggesa semua Ahli Parlimen untuk bersuara mengenai perkara itu di Parlimen dengan segera, sebelum Speaker mengharamkan penggunaan perkataan PDA, PETROS, atau PETRONAS apabila perdebatan menjadi hangat.

Pada 30 Januari lalu, PETRONAS dilaporkan merancang untuk melaksanakan kira-kira 50 aktiviti pemulihan dan penutupan dari 2025 hingga 2027, dengan aktiviti utama tertumpu di lima wilayah iaitu Sabah, Sarawak, Kertih, Melaka dan Pengerang.

Menurut PETRONAS dalam laporan Tinjauan Aktiviti 2025-2027, pelaksanaan aktiviti itu memerlukan tenaga kerja yang besar, dengan jumlah pekerja dijangka memuncak sekitar 25,000 orang pada suku kedua 2026 dan suku pertama 2027.

Dalam pada itu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEN) dilaporkan menggesa PETRONAS dan PETROS melihat nasib pekerja PETRONAS, yang mungkin terpaksa diberhentikan, sebagai antara strategi syarikat minyak nasional itu untuk mengatasi kerugian. — The Merdeka Times

Author