Antarabangsa
42 peratus masjid, institusi Islam di United Kingdom alami serangan bermotifkan agama
Kira-kira 42 peratus masjid atau institusi Islam di United Kingdom (UK) mengalami serangan bermotifkan agama dalam tempoh tiga tahun lalu, demikian menurut satu tinjauan.

- Kira-kira 42 peratus masjid atau institusi Islam di United Kingdom (UK) mengalami serangan bermotifkan agama dalam tempoh tiga tahun lalu.
- Serangan terbabit kebiasaannya dalam bentuk vandalisme, jenayah pecah masuk dan kecurian dengan 17 peratus serangan adalah dalam bentuk fizikal.
- Ia berdasarkan tinjauan Muslim Engagement and Development (MEND) dan Muslim Census.
LONDON – Kira-kira 42 peratus masjid atau institusi Islam di United Kingdom (UK) mengalami serangan bermotifkan agama dalam tempoh tiga tahun lalu, demikian menurut satu tinjauan.
Tinjauan dilakukan Muslim Engagement and Development (MEND) dan Muslim Census mendapati bentuk serangan sering dialami masjid dan institusi Islam terbabit adalah vandalisme, diikuti jenayah pecah masuk dan kecurian (34 peratus) dengan 83 peratus dilaporkan diserang sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
Tinjauan itu juga mendapati 17 peratus staf dan pengunjung mengalami serangan fizikal, di mana sebuah masjid melaporkan seorang ulama ditikam di luar pintu masuk masjid, demikian lapor AlJazeera.
“Kami menyaksikan individu memecahkan tingkap, merosakkan kenderaan, dan melukis grafiti pada bangunan masjid,” seorang ahli kariah masjid yang enggan dikenali.
“Ramadan lalu, seorang lelaki pancitkan tayar kereta pengunjung; kami juga dapat ugutan dan surat berunsur kebencian,” kata Imam Masjid Sainsbury Park, Toufik Kacimi
Kacimi berkata terdapat beberapa penyerang yang menyamar sebagai Muslim untuk mendapatkan akses ke masjid dan mencuri wang tabung masjid dan telefon bimbit.
Laporan polis telah dibuat dan 55 peratus masjid berpuas hati, manakala 38 peratus menjelaskan tiada tindakan dibuat oleh pihak polis berhubung serangan terbabit.
Deputy Chief Constable Mark Hamilton yang mengetuai bahagian jenayah kebencian di UK, menyangkal dakwaan dan mengatakan mereka mengambil serius setiap laporan kerana ia memberi kesan buruk terhadap mangsa dan komuniti terbabit.
Pengarah MEND, Azhar Qayum berkata, cadangan telah diberikan kepada kerajaan termasuk menambah baik hubungan antara polis dan masyarakat Islam ketika serangan berlaku
Sumber : Al Jazeera
