Ekonomi
Pakej Badal Haji: tawar harga rendah, lesen dibatalkan
Tawaran pakej badal haji yang murah semestinya lebih menjadi pilihan orang ramai dan sikap tidak ambil cakna terhadap kadar harga pakej semasa akan menjerumus mereka kepada penipuan.

KUALA LUMPUR – Tawaran pakej badal haji yang murah semestinya lebih menjadi pilihan orang ramai dan sikap tidak ambil cakna terhadap kadar harga pakej semasa akan menjerumus mereka kepada penipuan.
Kebelakangan ini juga, media sosial dihujani lambakan iklan mempromosikan pakej badal haji pada harga tidak munasabah yang terlihat seolah satu tindakan sengaja meraih keuntungan, lapor Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tengku Aziz Raja Abdullah menerusi Bernama.
Mengulas berkenaan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menyatakan Motac amat memandang serius terhadap tawaran pakej berkenaan memandangkan harganya jauh lebih rendah daripada caj pakej dan permit haji yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Motac turut memberi amaran kepada pengusaha pelancongan yang didapati terlibat dalam penipuan.
“Tindakan akan diambil di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yakni Seksyen 8(d) Akta 482 menyebut syarikat pengusaha pelancongan tidak boleh menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.
Menurut Motac pengusaha pelancongan yang melanggar akta berkenaan boleh dikenakan penggantungan atau pembatalan lesen.
Justeru, Motac menasihatkan orang awam untuk membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan dan hanya mempertimbangkan syarikat berlesen demi memastikan hak mereka terpelihara.
Sumber: Bernama
