Terkini
PrEP perlu dikhususkan kepada pengamal seks nekad tamatkan perlakuan songsang
Sekumpulan pengamal perubatan tempatan menegaskan projek rintis rawatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) hanya perlu dikhususkan kepada pasangan sah pesakit HIV dan individu pengamal seks berisiko tinggi yang benar-benar ingin keluar daripada ‘kitaran ketagihan’ seks songsang mereka.
- Sekumpulan pengamal perubatan tempatan tegaskan projek rintis PrEP hanya perlu dikhususkan kepada pasangan sah pesakit HIV dan individu pengamal seks berisiko tinggi yang benar-benar ingin keluar daripada ‘kitaran ketagihan’ seks songsang mereka.
- Sekiranya golongan songsang ini sekadar diberi ubat tanpa pemantauan dan kaunseling terkait ketagihan seks, ia ibarat menyorong bantal buat golongan itu.
- Mereka berpandangan matlamat beri PrEP secara percuma kepada golongan pengamal hubungan seks bebas bagi cegah HIV adalah murni, namun pada masa sama buka ruang kepada kegiatan seks songsang berlaku.
KUALA LUMPUR – Sekumpulan pengamal perubatan tempatan menegaskan projek rintis rawatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) hanya perlu dikhususkan kepada pasangan sah pesakit HIV dan individu pengamal seks berisiko tinggi yang benar-benar ingin keluar daripada ‘kitaran ketagihan’ seks songsang mereka.
Dalam kenyataan itu, mereka menambah sekiranya golongan songsang ini sekadar diberi ubat tanpa pemantauan dan kaunseling terkait ketagihan seks, ia ibarat menyorong bantal buat golongan itu.
Pengamal perubatan tempatan itu terdiri daripada Prof Dr Samsul Draman, Prof Madya Dr Rosediani Muhamad, Prof Muhammad Ibrahim, Prof Madya Dr Nik Nur Fatnoon Nik Ahmad, Prof Madya Dr Aspalilah Alias, Dr Radhiahtul Akmal Razali, Dr Jannatul Madihah Abu Bakar, Dr Zamzurina Asmuee, Ms Afizah Salleh, Dr Anita Rina Ali, Dr Rina Salwani Mohd Tamin, Dr Suhazeli Abdullah, Dr Nor Halwani Habizal, Dr Zafferina Zulghaffar dan Dr Shafiq Wahab.
“Dalam hal ini, PrEP adalah salah satu bentuk rawatan bantuan bagi mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan, selain daripada “risk reduction counseling” yang perlu juga diintegrasikan dengan pendekatan holistik bio-psiko-sosio-spiritual sepertimana definisi kesihatan sebenar oleh World Health Organization (WHO).
“Kaedah ini adalah salah satu bentuk rawatan bantuan bagi mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan.
“Ianya sedikit persamaan konsep dengan mereka yang ingin berhenti menagih dadah melalui pemberian methadone.
“Namun pemberian PrEP kepada elgibiti(LGBT) itu pun masih lagi memerlukan penelitian dan pandangan majlis fatwa sebelum dilaksanakan. Satu pelan perancangan bersepadu wajib diwujudkan dengan melibatkan pelbagai agensi seperti JAKIM dan seumpamanya,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama di Facebook pada Ahad.
Kenyataan itu berkata elemen perundangan juga perlu dinilai semula bagi memastikan golongan yang menentang fitrah manusia ini tidak semakin subur membiak seperti cendawan tumbuh selepas hujan dalam negara kita.
Dalam pada itu, mereka berpandangan matlamat pemberian PrEP secara percuma kepada golongan pengamal hubungan seks bebas bagi mencegah HIV adalah murni, namun pada masa sama ia membuka ruang kepada kegiatan seks songsang berlaku.
Perkara itu yang tidak dipersetujui oleh mereka.
“Pemberian ubat antiviral ini tidak semudah kita sangkakan. Jika sekadar beri ubat, tetapi pemantauan dan kaunseling terhadap ketagihan seks tidak dibuat, ibarat menyorong bantal. Mereka semakin seronok.
“Kita mungkin puas hati kerana jumlah HIV dari golongan ini makin menurun, tetapi kita tidak melihat pada murka Allah yang jelas dinyatakan kepada pelaku golongan ini.
“Kami bukan bersikap ingin menghukum (judgemental) tetapi atas batas Iman dan nilai kemanusiaan ini, kami bimbang azab akan diturunkan kepada kita semua. Inilah pegangan kita jika kita tidak beramal dengan amar makruf, nahi mungkar.
“Kami yakin pihak berwajib sudah ada garis panduan untuk pemantauan. Apabila memikirkan ubat antiviral merawat HIV ini banyak kesan sampingnya, kami tidak pasti berapa lama mereka boleh bertahan (sustainability of treatment and compliance).
“Begitu juga masalah dengan kerintangan ubat antiviral (resistance). Semakin banyak kos digunakan untuk menukar kepada jenis lain demi menjamin keselamatan tingkah laku berisiko kumpulan elgibiti (LGBT) itu?” katanya kenyataan bersama itu.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa mereka tiada masalah sekiranya PrEP diberikan kepada pasangan HIV yang sah dari sudut undang-undang, ini berikutan ia telah lama dilaksanakan.
Perkara itu dikhususkan kepada serodiscordant couple (suami positif HIV, manakala isteri negatif HIV atau sebaliknya).
Dalam masa sama, katanya pencegahan lain diteruskan seperti memakai kondom selagi mana jumlah HIV tidak mencecah ‘tidak dapat dikesan’ (undetectable viral load).
Matlamatnya adalah untuk melindungi pasangan yang masih belum terkena HIV.
Kementerian Kesihatan dilaporkan akan melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
Ubat PrEP secara percuma itu akan diberikan kepada golongan berisiko dijangkiti HIV termasuk komuniti LGBT di mana ia menimbulkan perdebatan di antara pengamal perubatan terutama doktor Muslim. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Dr Suhazeli Abdullah