Connect with us

Komuniti

Jangan jadikan universiti kilang ijazah, program tidak relevan mesti ditamatkan – EXCO Kedah

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah

 

  • Hampir 1.9 juta graduan Malaysia dikategorikan sebagai underemployed – bekerja dalam bidang tidak setara dengan kelayakan, atau menerima gaji rendah tidak mencerminkan tahap pendidikan mereka.
  • Salah satu permasalahan utama adalah kurangnya penyelarasan antara kementerian, yang menyebabkan  ketidakpadanan antara program pengajian di universiti dan keperluan sebenar pasaran kerja.
  • Banyak universiti awam terpaksa tawarkan program kurang laku di pasaran demi kelangsungan fakulti.
  • Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk menyiasat keseluruhan rantaian dasar pendidikan tinggi.

KUALA LUMPUR — Malaysia sedang berdepan krisis senyap dalam sistem pengajian tinggi iaitu ketidakpadanan antara program universiti dan keperluan industri, yang akhirnya melahirkan graduan berijazah tetapi tidak berfungsi dalam pasaran kerja.

Kebimbangan itu disuarakan EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah dalam hantaran di Facebook.

Menurut beliau, statistik telah menunjukkan hampir 1.9 juta graduan Malaysia kini dikategorikan sebagai underemployed iaitu mereka bekerja dalam bidang tidak setara dengan kelayakan, atau menerima gaji rendah yang tidak mencerminkan tahap pendidikan mereka.

Salah satu permasalahan utama yang dikenal pasti adalah kurangnya penyelarasan antara kementerian, yang menyebabkan berlakunya ketidakpadanan antara program pengajian di universiti dan keperluan sebenar pasaran kerja.

Jelasnya, situasi ini dapat dilihat apabila tiada penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan. Contohnya sekarang,  dasar pendidikan tinggi dirangka Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), perancangan pekerjaan pula oleh KESUMA (Kementerian Sumber Manusia), pembangunan industri oleh MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan perbelanjaan oleh Kementerian Kewangan yang sekali gus mewujudkan jurang komunikasi dan perancangan antara semua kementerian ini.

Akibat daripada itu, katanya pelajar akan mengambil bidang A, tetapi pasaran hanya perlukan bidang B.

“Contohnya, sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) dijangka memerlukan lebih 50,000 tenaga mahir menjelang 2030 (MITI, 2023) namun, pengambilan pelajar ke dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekatronik masih rendah, terutama di universiti awam.

“Maka, perlu ada Majlis Penyelarasan Pendidikan-Tenaga Kerja Negara yang memantau padanan antara unjuran ekonomi dan program universiti secara real time,” katanya yang turut menegaskan bahawa pendekatan silo antara kementerian perlu dihentikan.

Menurut beliau, permasalahan lain yang timbul adalah apabila banyak universiti awam kini terpaksa menawarkan program yang kurang laku di pasaran demi kelangsungan fakulti.

Situasi itu sekali gus menyaksikan pelajar yang gagal mendapat tempat dalam bidang bernilai tinggi “dilelongkan” ke program yang tiada permintaan pasaran.

Ia mengakibatkan kelahiran graduan tiada kebolehpasaran (employability), mereka menyertai tenaga kerja separuh mahir dan negara pula perlu menanggung kos latihan yang tidak relevan.

“Kita tidak boleh jadikan universiti sebagai kilang ijazah. Program tidak relevan mesti ditamatkan atau distruktur semula kepada bidang baharu yang selari dengan IR4.0 (Revolusi Industri Keempat) dan IR5.0, seperti: Teknologi hijau, Kecerdasan buatan (AI), Sains data & analitik dan Teknologi kesihatan,” tegasnya.

Haim Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra turut membangkitkan berkenaan isu penstrukturan data akademik yang perlu menjadi asas perancangan tenaga mahir negara.

Beliau berkata keputusan STPM, STAM, Matrikulasi, Asasi dan Diploma yang menjadi pintu masuk ke IPTA wajar diklasifikasikan mengikut julat CGPA dan dikelompokkan mengikut aliran: Sains, Sosial, Agama, Teknikal dan lain-lain. 

Data itu, tegasnya tidak boleh hanya disimpan untuk laporan tahunan, sebaliknya mesti digunakan sebagai asas unjuran pengambilan pelajar ke program bernilai tinggi dan berimpak tinggi, selari dengan permintaan sebenar sektor pekerjaan.

Contohnya, jika 8,000 pelajar mencapai CGPA 3.90 ke atas dalam aliran Sains, maka kapasiti program kejuruteraan, perubatan, teknologi dan data analisis perlu ditingkatkan secara proaktif.

Satu lagi isu dibangkitkan adalah pelaksanaan sistem “saluran terbuka” kepada pelajar yang sanggup membayar yuran penuh walaupun keputusan akademik mereka lebih rendah daripada pemohon aliran biasa.

“Saluran ini wajar disemak semula. Ia bukan sahaja menafikan hak pelajar yang lebih layak dari sudut akademik, malah menekan ibu bapa dari golongan M40 yang terpaksa menggadai harta, berhutang atau mengorbankan simpanan demi masa depan anak mereka.

“Ini bukan soal “hak istimewa”, tetapi soal keadilan dalam peluang pendidikan. Meritokrasi sebenar perlu ditegakkan,” kata Haim Hilman.

Foto: Antara tangkap layar hantaran Facebook Haim Hilman.

Tambah beliau, krisis graduan ‘underemployed’ mencerminkan kegagalan sistem pendidikan tinggi negara dalam merancang laluan kerjaya yang jelas dan pemadanan program dengan industri, sekali gus menjadikan pelajar mangsa kepada dasar yang pincang dan ia bukan kerana kegagalan mereka sendiri.

Justeru, beliau menyarankan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat keseluruhan rantaian dasar pendidikan tinggi, termasuk berkenaan bagaimana dasar pengambilan pelajar dirangka,  padanan sebenar antara program dan keperluan industri dan mengapa saluran terbuka dan program tidak relevan masih diberi tempat.

Haim Hilman mengakhirnya perkongsian beliau dengan mengingatkan bahawa negara ini tidak akan berjaya menjadi negara maju jika sistem pendidikan tingginya terus melahirkan graduan yang tidak relevan, terpinggir dan terbeban dengan hutang. — The Merdeka Times

Author