Connect with us

Politik

Kerajaan jangan diam diri dakwaan ‘duit kotor’ libat Perdana Menteri

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari (kiri) & Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan)
  • Kerajaan diminta supaya tidak terus berdiam diri berhubung dakwaan elemen rasuah dan penggunaan ‘dirty money’ yang dikaitkan secara langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta tokoh korporat terkemuka.
  • Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata pendedahan mengejutkan yang sedang tular melibatkan pengakuan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju itu merupakan satu dakwaan amat berat dan tidak boleh dipandang ringan.
  • Fadhli berkata dakwaan itu bukan sahaja mencalar imej individu tertentu, tetapi turut menjejaskan maruah negara di mata dunia serta kepercayaan rakyat terhadap integriti pentadbiran kerajaan.
  • “Saya menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh terus berdiam diri dalam isu ini. Rakyat berhak tahu kebenaran dan menuntut agar satu siasatan segera, menyeluruh dan telus dijalankan,” katanya.

KUALA LUMPUR — Kerajaan diminta supaya tidak terus berdiam diri berhubung dakwaan elemen rasuah dan penggunaan ‘dirty money’ yang dikaitkan secara langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta tokoh korporat terkemuka.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata pendedahan mengejutkan yang sedang tular melibatkan pengakuan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju itu merupakan satu dakwaan amat berat dan tidak boleh dipandang ringan.

Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, dakwaan itu bukan sahaja mencalar imej individu tertentu, tetapi turut menjejaskan maruah negara di mata dunia serta kepercayaan rakyat terhadap integriti pentadbiran kerajaan.

“Lebih malang, pendedahan ini secara langsung memalitkan kredibiliti pemimpin nombor satu negara, yang selama ini melaungkan slogan reformasi, integriti dan ketelusan.

“Saya menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh terus berdiam diri dalam isu ini. Rakyat berhak tahu kebenaran dan menuntut agar satu siasatan segera, menyeluruh dan telus dijalankan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak tanpa rasa gentar, bebas daripada sebarang pengaruh politik, demi memastikan keadilan ditegakkan,” kata Fadhli menerusi hantaran di Instagram paspusat hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Instagram paspusat.

Sehubungan itu, Lajnah Penerangan dan Media Baru juga katanya, telah mengarahkan seluruh jentera penerangan di peringkat negeri dan kawasan membuat laporan polis bagi mendesak siasatan segera terhadap dakwaan tersebut.

Tegasnya, perkara itu adalah tanggungjawab moral bagi mempertahankan maruah negara dan memastikan amalan politik bersih ditegakkan.

“Kita ingin mengingatkan kerajaan bahawa ketelusan dan integriti bukan sekadar retorik politik, tetapi satu kewajipan yang mesti dibuktikan dengan tindakan. Jangan biarkan rakyat terus dikhianati dengan permainan politik kotor yang merugikan negara,” kata Fadhli.

Foto: Tangkap layar hantaran Instagram paspusat.

Sebelum ini media melaporkan, tular sebuah video di beberapa platform media sosial memaparkan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng membincangkan sumbangan kewangan kepada cabang itu daripada seorang ahli perniagaan terkemuka, yang didakwa menyifatkannya sebagai “dana tidak diaudit” dikaitkan dengan seorang tokoh politik kanan.

Pada 14 Mei lalu, Free Malaysia Today memetik sumber melaporkan bahawa PKR dijangka mengambil tindakan disiplin terhadap Lai berhubung video itu selepas kongres nasional parti itu yang dijadualkan pada 24 Mei ini.

Lai juga dilapor menegaskan bahawa klip berkenaan disunting secara terpilih dan disebarkan dengan niat jahat. — The Merdeka Times

Author