Connect with us

Komuniti

Kumpulan belia dakwa diintimidasi polis, DBKL ketika baca buku dan diskusi di tempat awam

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Aktiviti ‘Diskusi dan Buku Jalanan’
  • Federasi Pemuda Kebangsaan berkata pada hari kejadian mereka mengadakan aktiviti ‘Diskusi dan Buku Jalanan’ secara santai dan terbuka sebelum didatangi kira-kira lapan hingga 10 anggota penguatkuasa di mana tiga daripadanya berpakaian seragam DBKL, manakala selebihnya berpakaian preman.
  • Dalam kejadian itu seorang pegawai siasatan jenayah dari Balai Polis Dang Wangi bertanyakan sama ada mereka telah menghantar surat pemakluman kepada ketua polis daerah.
  • Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang adakah rakyat kini perlu membuat permohonan rasmi untuk menggunakan ruang awam bagi aktiviti membaca dan berdiskusi secara aman.
  • “Ketika ditanya oleh salah seorang mahasiswa undang-undang mengenai asas peraturan digunakan, pihak berkuasa tidak memberikan sebarang jawapan.
  • “Kehadiran pihak berkuasa dalam jumlah sebegitu, serta sikap tidak mesra terhadap aktiviti yang bersifat pendidikan dan intelektual, adalah bentuk intimidasi.” – Federasi Pemuda Kebangsaan

KUALA LUMPUR — Sebuah kumpulan belia dikenali sebagai Federasi Pemuda Kebangsaan mendakwa berdepan tindakan intimidasi selepas aktiviti diskusi dan budaya membaca diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu diganggu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kumpulan itu berkata pada hari kejadian mereka mengadakan aktiviti ‘Diskusi dan Buku Jalanan’ secara santai dan terbuka sebelum didatangi kira-kira lapan hingga 10 anggota penguatkuasa di mana tiga daripadanya berpakaian seragam DBKL, manakala selebihnya berpakaian preman.

Dakwa kumpulan itu, dalam kejadian tersebut seorang pegawai siasatan jenayah dari Balai Polis Dang Wangi bertanyakan sama ada mereka telah menghantar surat pemakluman kepada ketua polis daerah.

Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya di pihak Federasi Pemuda Kebangsaan, tentang adakah rakyat kini perlu membuat permohonan rasmi untuk menggunakan ruang awam bagi aktiviti membaca dan berdiskusi secara aman.

“Permintaan agar kami bersurai pada jam 10 malam juga tidak disertakan dengan penjelasan undang-undang yang jelas.

“Ketika ditanya oleh salah seorang mahasiswa undang-undang mengenai asas peraturan digunakan, pihak berkuasa tidak memberikan sebarang jawapan.

“Kehadiran pihak berkuasa dalam jumlah sebegitu, serta sikap tidak mesra terhadap aktiviti yang bersifat pendidikan dan intelektual, adalah bentuk intimidasi.

“Ia memberi kesan langsung terhadap suasana ruang awam yang sepatutnya menjadi milik bersama dan selamat untuk semua,” kata kumpulan itu menerusi kenyataan di Instagram semalam.

 

Foto: Tangkap layar hantaran Instagram federasi.my.

 

Federasi Pemuda Kebangsaan berkata pihaknya percaya membaca, berdiskusi dan menggunakan ruang awam secara damai tidak seharusnya dilayan seperti satu kesalahan, selain budaya intelektual juga perlu digalakkan, bukan diganggu.

 

Foto: Tangkap layar hantaran Instagram federasi.my.

Menurut hantaran Instagram federasi.my, Diskusi dan Buku Jalanan adalah ruang bebas di mana semua orang boleh hadir, membaca, berbual dan berfikir bersama.

Difahamkan, Diskusi dan Buku Jalanan yang diadakan pada 10 Mei lalu membawakan topik, “Menteri Jangan Rasuah! Sampai jumpa!”. — The Merdeka Times

Author