Antarabangsa
Bekas Paderi didakwa kes penderaan seksual kanak-kanak

- Polis mula menyiasat penderaan seksual itu pada Oktober 2023 setelah seorang mangsa membuat laporan dan hakim memerintahkan agar paderi William Mannion, 62 ditahan tanpa ikat jamin.
- Berdasarkan dokumen pertuduhan, seorang lelaki mendakwa kepada pakar psikiatrinya yang bekas paderi itu mula menderanya ketika dia berada dalam darjah dua dan berterusan hingga darjah empat di Sekolah St. Agnes.
- Mangsa mendakwa suspek membawanya keluar dari kelas dan membawanya ke gereja, di mana penderaan berlaku. Paderi itu dikatakan memainkan muzik rock Kristian dan menggunakan boneka ketika kejadian.
MARYLAND – Seorang bekas paderi dari Baltimore, Amerika Syarikat ditahan atas tuduhan penderaan seksual kanak-kanak yang didakwa dilakukan lebih 30 tahun lalu.
William Mannion, 62, menghadapi tuduhan penderaan kanak-kanak dan pelbagai kesalahan seksual lain selepas didakwa melakukan jenayah tersebut dari tahun 1991 hingga 1994 di Gereja St. Agnes di Baltimore.
Polis mula menyiasat penderaan seksual itu pada Oktober 2023 setelah seorang mangsa membuat laporan dan hakim memerintahkan agar paderi itu ditahan tanpa ikat jamin.
Pihak berkuasa gereja di Baltimore menyatakan Mannion meninggalkan jawatan paderi pada akhir 1990-an selepas meminta untuk dikeluarkan secara rasmi atas sebab-sebab yang tidak berkaitan dengan dakwaan penderaan itu.
“Kami berasa sedih apabila mengetahui tentang dakwaan penderaan oleh Mannion dan komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.
“Kami bertekad untuk melindungi kanak-kanak dan membantu dalam pemulihan mangsa penderaan,” jelas satu kenyataan dikeluarkan pihak gereja terbabit.
Menurut pihak gereja, Mannion pernah memainkan peranan penting dalam menumpaskan perogol kanak-kanak terkenal, John Joseph Merzbacher.
Berdasarkan dokumen pertuduhan yang dipetik CBS News, seorang lelaki mendakwa kepada pakar psikiatrinya yang Mannion mula menderanya ketika dia berada dalam darjah dua dan berterusan hingga darjah empat di Sekolah St. Agnes.
Mangsa mendakwa suspek membawanya keluar dari kelas dan membawanya ke gereja, di mana penderaan berlaku. Paderi itu dikatakan memainkan muzik rock Kristian dan menggunakan boneka ketika kejadian.
Penyiasat percaya mungkin terdapat lebih ramai mangsa penderaan oleh Mannion dan menggesa mereka untuk tampil ke hadapan.
Pada Oktober 2023, Akta Mangsa Kanak-Kanak Maryland telah dikuatkuasakan, menghapuskan had masa ke atas kes penderaan seksual kanak-kanak.
Sejak akta itu dilaksanakan, kira-kira 3,500 mangsa telah memfailkan saman terhadap suspek pelaku.
Pada April 2023, Pejabat Peguam Negara Maryland mengeluarkan laporan setebal 450 halaman yang mengenal pasti 156 orang termasuk paderi dan guru Katolik yang didakwa telah mendera lebih 600 mangsa.
Insiden yang didokumenkan dalam laporan itu bermula sejak tahun 1940-an. – The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login