Terkini
Mahkamah Tinggi benarkan wanita Sabah cabar status Islam
Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang memberi kebenaran kepada seorang wanita Sabah untuk mencabar keabsahan pemelukan Islam ketika beliau masih di bawah umur.
- Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang memberi kebenaran kepada seorang wanita Sabah untuk mencabar keabsahan pemelukan Islam ketika beliau masih di bawah umur.
- Dalam perbicaraan dalam talian semalam, Hakim Datuk Quay Chew Soon memberi kebenaran kepada wanita itu untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) dan pendaftar mualaf di negeri itu, lapor FMT.
- Wanita berusia 21 tahun itu memeluk Islam ketika berusia 17 tahun untuk berkahwin dengan teman lelakinya yang beragama Islam, bagaimanapun lelaki terbabit memutuskan hubungan mereka beberapa bulan kemudian.
- Wanita terbabit mahu mahkamah mengisytiharkan sijil penukaran agamanya – bertarikh 11 Jun 2020 – tidak sah dan membatalkan Kad Akuan Masuk Islamnya yang dikeluarkan MAINPP.
KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang memberi kebenaran kepada seorang wanita Sabah untuk mencabar keabsahan pemelukan Islam ketika beliau masih di bawah umur.
Dalam perbicaraan dalam talian semalam, Hakim Datuk Quay Chew Soon memberi kebenaran kepada wanita itu untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) dan pendaftar mualaf di negeri itu, lapor FMT.
Hakim juga membenarkan lanjutan masa memandangkan wanita itu telah melepasi had masa tiga bulan untuk memfailkan semakan.
Wanita berusia 21 tahun itu memeluk Islam ketika berusia 17 tahun untuk berkahwin dengan teman lelakinya beragama Islam, bagaimanapun lelaki terbabit memutuskan hubungan mereka beberapa bulan kemudian.
Wanita itu mahu mahkamah mengisytiharkan sijil penukaran agamanya – bertarikh 11 Jun 2020 – tidak sah dan membatalkan Kad Akuan Masuk Islamnya yang dikeluarkan MAINPP.
Hakim Quay berkata kes ini melibatkan pertikaian mengenai penukaran agama dan semakan dimohon melibatkan kesahihan sijil penukaran.
Beliau menolak bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mendakwa kes terbabit merupakan kes untuk Mahkamah Syariah.
Hakim kemudian menetapkan 26 Disember depan untuk sebutan kes dan mengarahkan notis pendengaran disampaikan kepada semua pihak.
Peguam Shamsher Singh Thind dan Thian Yee Chin mewakili wanita Sabah itu, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti mewakili AGC.
MAINPP dan pendaftar mualaf negeri tidak diwakili dan tidak membuat sebarang pemfailan dalam kes itu. — The Merdeka Times