Terkini
“Campur tangan industri tembakau dan vape semakin parah!” – Doktor Farmasi Klinikal
Doktor Farmasi Klinikal (PharmD), Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed mendakwa campur tangan industri tembakau dan vape di Malaysia semakin parah.
- Doktor Farmasi Klinikal (PharmD), Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed mendakwa campur tangan industri tembakau dan vape di Malaysia semakin parah.
- Laporan ‘Global Tobacco Industry Interference Index 2023’ menunjukkan ranking Malaysia jatuh mendadak daripada tangga 57 pada tahun 2021 kepada 78 tahun ini.
- “Patutlah RUU Kawalan Produk merokok tak lulus-lulus sampai la ni.. Generasi Penamat (GEG) pula dilenyapkan!,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
- Peguam negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebelum ini dilaporkan berpandangan cadangan kohort atau larangan berdasarkan umur yang bertujuan untuk mengharamkan produk tembakau dan vape bagi mereka yang lahir bermula 1 Januari 2007 sebagai tidak berperlembagaan.
- “Saya nak tanya pada peguam negara juga, adakah membenarkan rakyat kita menghisap rokok atau vape yang terbukti dari segi perubatan akan menyebabkan masalah kesihatan itu mengikut perlembagaan?” kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
KUALA LUMPUR —- Doktor Farmasi Klinikal (PharmD), Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed mendakwa campur tangan industri tembakau dan vape di Malaysia semakin parah.
Ini susulan laporan ‘Global Tobacco Industry Interference Index 2023’ menunjukkan ranking Malaysia jatuh mendadak daripada tangga 57 pada tahun 2021 kepada 78 tahun ini.
“Ranking Malaysia jatuh ‘bedebuk’ daripada tangga 57 tahun 2021 kepada 78 daripada 90 negara menunjukkan campur tangan industri tembakau dan vape semakin parah!!
“Patutlah RUU Kawalan Produk merokok tak lulus-lulus sampai la ni.. Generasi Penamat (GEG) pula dilenyapkan!,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, kabinet memutuskan untuk menggugurkan peruntukan larangan tembakau dan vape generasi akhir (GEG) daripada Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023.
Ini kerana peguam negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilaporkan berpandangan cadangan kohort atau larangan berdasarkan umur yang bertujuan untuk mengharamkan produk tembakau dan vape bagi mereka yang lahir bermula 1 Januari 2007 sebagai tidak berperlembagaan.
Rang undang-undang kawalan tembakau dan vape itu juga kekurangan sokongan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menganggap GEG melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang.
Mengulas kenyataan peguam negara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan tersebut dengan mengajukan pertanyaan sama ada membenarkan rakyat menghisap rokok atau vape yang terbukti dari segi perubatan akan menyebabkan masalah kesihatan adalah mengikut perlembagaan.
“Saya nak tanya pada peguam negara juga, adakah membenarkan rakyat kita menghisap rokok atau vape yang terbukti dari segi perubatan akan menyebabkan masalah kesihatan itu mengikut perlembagaan?
“Adakah nasihat peguam negara sebelum ini yang menyatakan bahawa “GEG” ini mengikut perlembagaan salah?
“Jika kita tahu secara jelas perkara itu salah, maka tugas pemimpin adalah untuk memperbaikinya bukan hanya diam seribu bahasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Akmal berkata seorang pemimpin bukan hanya perlu mengikuti buku undang-undang tetapi juga perlu mementingkan naluri kemanusiaan.
Justeru beliau sebagai seorang doktor perubatan dan wakil rakyat menegaskan sokongannya supaya GEG dilaksanakan. — The Merdeka Times