Terkini
Mahkamah sivil boleh mendengar kes pertikaian paterniti babit orang Islam
Mahkamah sivil boleh mendengar kes pertikaian paterniti membabitkan orang Islam untuk mengesahkan hubungan antara seorang bapa dan anaknya, menurut Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
- Mahkamah sivil boleh mendengar kes pertikaian paterniti membabitkan orang Islam untuk mengesahkan hubungan antara seorang bapa dan anaknya, menurut Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
- Hakim Abazafree Abbas berkata isu paterniti harus dibezakan dengan kes-kes pengesahan taraf dan nasab (menentukan keturunan seseorang berasaskan pertalian darah yang sah).
- Katanya, pengesahan taraf dan nasab sememangnya bawah bidang kuasa mahkamah syariah negeri memandangkan ia membabitkan undang-undang keluarga.
- “Kesahan taraf ialah status di sisi undang-undang seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang sudah berkahwin, manakala paterniti ialah pengiktirafan undang-undang seseorang lelaki sebagai bapa.
- “Pada pandangan mahkamah, paterniti bukan bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah,” kata Abazafree dalam penghakimannya berhubung tuntutan seorang wanita terhadap seorang lelaki.
PETALING JAYA: Mahkamah sivil boleh mendengar kes pertikaian paterniti membabitkan orang Islam untuk mengesahkan hubungan antara seorang bapa dan anaknya, menurut Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Hakim Abazafree Abbas berkata isu paterniti harus dibezakan dengan kes-kes pengesahan taraf dan nasab (menentukan keturunan seseorang berasaskan pertalian darah yang sah).
Katanya, pengesahan taraf dan nasab sememangnya bawah bidang kuasa mahkamah syariah negeri memandangkan ia membabitkan undang-undang keluarga.
“Kesahan taraf ialah status di sisi undang-undang seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang sudah berkahwin, manakala paterniti ialah pengiktirafan undang-undang seseorang lelaki sebagai bapa.
“Pada pandangan mahkamah, paterniti bukan bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah,” kata Abazafree dalam penghakimannya berhubung tuntutan seorang wanita terhadap seorang lelaki.
Pada tahun 2020, anak tersebut telah dilahirkan di luar nikah kepada wanita berusia 26 tahun itu.
Wanita itu memujuk lelaki berusia 24 tahun itu untuk mengambil ujian DNA tahun lepas dan keputusan mengesahkan beliau bapa kandung anak itu.
Bagaimanapun, lelaki itu enggan mengakui keputusan DNA tersebut, mendorong wanita itu memfailkan permohonan untuk mendapatkan deklarasi daripada mahkamah bahawa kanak-kanak itu anak lelaki tersebut.
Hakim berpandangan kanak-kanak itu berhak tahu siapa bapanya.
“Anak itu mungkin tidak berhak mendapat harta pusaka bapanya (mengikut undang-undang Islam) tetapi hakikat (bapa kanak-kanak tersebut) tidak boleh dirahsiakan,” katanya.
Adly Zulfadhly Zulkefly, yang mewakili si ibu selaku peguam, memberitahu FMT bahawa lelaki tersebut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Sumber: Free Malaysia Today