Connect with us

Terkini

Penahanan Sanusi jam 3 pagi berlebihan, hanya perlu kemuka saman ke mahkamah – Peguam Kanan

Tindakan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada jam tiga pagi tadi dengan kehadiran ramai anggota penguatkuasa dilihat agak berlebihan dan tiada keperluan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Penahanan Sanusi jam 3 pagi berlebihan, hanya perlu kemuka saman ke mahkamah – Peguam Kanan
Foto: Penahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada jam tiga pagi di sebuah hotel di Kuala Lumpur awal pagi ini (kiri) dan Muhammad Sanusi ketika berada di Mahkamah Sesyen (kanan).
  • Tindakan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada jam tiga pagi dengan kehadiran ramai anggota penguatkuasa dilihat agak berlebihan dan tiada keperluan.
  • “Tindakan tangkap pukul dua tiga pagi dengan ramai penguatkuasa seolah-olah ada satu jenayah berat yang serius berlaku atau suatu operasi khas.
  • “Satu tindakan yang kelihatan agak berlebihan dan tidak perlu sedangkan kes ini boleh disaman panggil (Sanusi) untuk datang ke mahkamah tidak perlu tangkapan dalam jumlah pegawai penguatkuasa yang seramai itu,” kata peguam kanan, Mohd Zainuddin Omar ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
  • Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi dalam ciapannya di Twitter berpendirian Akta Hasutan tidak sepatutnya digunakan apatah lagi terhadap seteru politik sebaliknya boleh menggunakan undang-undang lain selain menuntut penjelasan berhubung penahanan jam tiga pagi itu.
  • Terdahulu, Muhammad Sanusi ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur awal pagi ini dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.

KUALA LUMPUR — Tindakan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada jam tiga pagi tadi dengan kehadiran ramai anggota penguatkuasa dilihat agak berlebihan dan tiada keperluan.

Peguam Kanan, Mohd Zainuddin Omar berkata tindakan itu dilihat berlebihan kerana kes terbabit boleh sahaja diuruskan menerusi tindakan saman terhadap Muhammad Sanusi untuk memanggilnya ke mahkamah.

“Tindakan tangkap pukul dua tiga pagi dengan ramai penguatkuasa seolah-olah ada satu jenayah berat yang serius berlaku atau suatu operasi khas.

“Satu tindakan yang kelihatan agak berlebihan dan tidak perlu sedangkan kes ini boleh disaman panggil (Sanusi) untuk datang ke mahkamah tidak perlu tangkapan dalam jumlah pegawai penguatkuasa yang seramai itu,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ciapan Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi di Twitter pada awal pagi ini berkaitan insiden penahanan Menteri Besar Kedah pada jam tiga pagi dan akta hasutan.

Amir berkata Akta Hasutan tidak sepatutnya digunakan apatah lagi terhadap seteru politik, sebaliknya boleh menggunakan undang-undang lain.

Beliau juga menuntut penjelasan tindakan penangkapan pada jam tiga pagi sedangkan ia dilihat tiada keperluan.

Foto: Tangkap layar ciapan @amirxabdhadi

Difahamkan, beliau membuat ciapan itu susulan media melaporkan Muhammad Sanusi ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur awal pagi ini dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.

Menurut kronologi dikongsikan pegawai Adun Jeneri, Helmi Khalid mendakwa pada jam 2.30 pagi, lebih kurang 20 anggota polis berada di luar pintu bilik penginapan Sanusi sebelum Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Mengulas lanjut, Mohd Zainuddin berkata secara asasnya Peguam Negara mempunyai kuasa di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Katanya, pendakwaan dan pemilihan pendakwaan atas kesalahan di bawah Akta Hasutan adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara mengikut budi bicara beliau.

“Persoalan sama ada ada kesalahan atau tidak, itu tugas pihak penguatkuasa untuk menjalankan siasatan dan pihak pendakwa untuk membuktikannya di mahkamah.

“Walau bagaimanapun, dari persepsi awam, pendakwaan ahli politik dari ceramah-ceramah politik ketika hampir waktu PRN (Pilihan Raya Negeri), terutamanya dari kalangan parti politik pembangkang, akan dilihat sebagai suatu pendakwaan politik.

“Ini membawa kepada persoalan kedua, iaitu berkait masa dan tatacara penguatkuasaan dilakukan, lebih-lebih lagi terhadap seorang pemimpin utama negeri,” katanya.

Mohd Zainuddin berkata tanggapan sedemikian tidak dapat dielak tambahan lagi apabila terdapat komen-komen daripada kalangan menteri yang menunjukkan seolah-olah ada campur tangan politik dalam pendakwaan sedangkan pada waktu itu ia masih dalam peringkat siasatan.

Terbaharu,  Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan dakwaan melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut. — The Merdeka Times

Author