Terkini
KPDN tidak nafi masih berlaku masalah bekalan telur
KPDN tidak menolak kemungkinan masih berlaku gangguan bekalan telur di beberapa kawasan dan akan terus melakukan pemantauan.
- Menurut kenyataan Bahagian Penguatkuasa KPDN , bagi pastikan kestabilan bekalan, kerajaan melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam dan sedang berkuatkuasa sehingga hari ini.
- “KPDN akan kawal harga telur ayam gred A (45 sen biji), B (43 sen sebiji) dan C (41 sen sebiji).
- “Sebaliknya telur ayam biasa tidak dikawal ialah gred AA, D dan E, manakala telur ayam biasa diperkayakan tidak dikawal ialah telur ayam Omega, Enrich dan sebagainya.”
- “Menjelang musim perayaan, seramai 2,200 pegawai penguatkuasa digerakkan bagi laksanakan pemeriksaaan harga di premis seluruh negara termasuk premis jual telur ayam merangkumi pasar awam, kedai runcit, pasar raya serta premis-premis lain di kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menolak kemungkinan masih berlaku gangguan bekalan telur di beberapa kawasan dan akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan perkara itu dapat diatasi.
Menurut kenyataan Bahagian Penguatkuasa KPDN, bagi memastikan kestabilan bekalan, kerajaan melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam dan sedang berkuatkuasa sehingga hari ini.
Menurut kenyataan itu, ada tiga jenis kategori telur ayam yang berada di pasaran negara yang dikawal dan tidak dikawal harganya oleh kerajaan.
“KPDN akan mengawal harga telur ayam gred A (45 sen biji), B (43 sen sebiji) dan C (41 sen sebiji).
“Sebaliknya telur ayam biasa yang tidak dikawal ialah gred AA, D dan E, manakala telur ayam biasa yang diperkayakan tidak dikawal ialah telur ayam Omega, Enrich dan sebagainya.
“Justeru menjelang musim perayaan ini, seramai 2,200 pegawai penguatkuasa digerakkan bagi melaksanakan pemeriksaaan harga di premis seluruh negara termasuk premis yang menjual telur ayam merangkumi pasar awam, kedai runcit, pasar raya serta premis-premis lain di kawasan bandar mahupun luar bandar,” menurut kenyataan itu kepada BH, hari ini.
Berdasarkan laporan, masih terdapat masalah bekalan telur ayam yang tidak stabil di beberapa negeri seperti Kelantan dan Terengganu.
Berdasarkan kenyatan itu, statistik penguatkuasaannya di seluruh negara bermula 5 Februari 2022 sehingga 5 Februari lalu menunjukkan sebanyak 167,406 premis sudah diperiksa di seluruh negara membabitkan peringkat borong dan runcit.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,436 kes dilaporkan yang membabitkan nilai sitaan berjumlah RM338,220.37 dan KPDN juga menerima sebanyak 27 aduan berkaitan telur ayam pada tahun ini.
“Jadi tindakan tegas akan diambil terhadap pihak-pihak yang cuba menganggu bekalan serta memanipulasi harga.
“KPDN juga sentiasa melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta pihak peniaga bagi memastikan bekalan sedia ada sentiasa mencukupi.
“Tambahan, KPDN juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga secara keterlaluan dan sekiranya melanggar perundangan berkaitan akan dikenakan tindakan yang tegas,” katanya.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang aduan boleh menyalurkannya melalui beberapa saluran seperti WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000; portal e-Aduan KPDN http://e.aduan.kpdn.gov.my; aplikasi Ez ADU KPDN dan Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088/6245.
Sumber: Berita Harian