Antarabangsa
Presiden El Salvador buka penjara khas samseng
Presiden El Salvador, Nayib Bukele, mengumumkan pembukaan penjara terbesar di benua Amerika, khusus bagi menahan kira-kira 40,000 samseng.
- Kebanyakan penjenayah ditahan semasa perisytiharan darurat Nayib Bukele ketika ‘perang’ Presiden El Salvador itu membanteras jenayah.
- Menurut Bukele, samseng yang dipenjarakan oleh kerajaan terdahulu mempunyai akses kepada pelacur, PlayStation, peralatan elektronik, telefon bimbit dan komputer di penjara lain.
- Samseng yang ditahan di ‘Pusat Kurungan Pengganas’ akan dipaksa bekerja. – Timbalan Menteri Kehakiman, Osiris Luna
- ‘Penjara terbesar di Amerika’ akan dikawal siang dan malam oleh 600 askar serta 250 polis. – Menteri Kerja Raya, Romeo Rodriguez.
SAN SALVADOR: Presiden El Salvador, Nayib Bukele, mengumumkan pembukaan penjara terbesar di benua Amerika, khusus bagi menahan kira-kira 40,000 samseng.
Kebanyakan penjenayah terbabit ditahan semasa perisytiharan darurat Bukele ketika ‘perang’ beliau membanteras jenayah.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara khusus mengenai bila pemindahan pertama banduan akan dilakukan, daripada hampir 63,000 anggota samseng yang kini ditahan oleh pihak berkuasa Salvador.
Menurut Bukele, samseng yang dipenjarakan oleh kerajaan terdahulu mempunyai akses kepada pelacur, PlayStation, peralatan elektronik, telefon bimbit dan komputer di penjara lain.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Kehakiman Osiris Luna, mereka yang ditahan di ‘Pusat Kurungan Pengganas’ baharu akan dipaksa bekerja.
Penjara terbabit dibina di kawasan luar bandar terpencil berhampiran Tecoluca, kira-kira 74 kilometer ke tenggara ibu kota San Salvador, dengan kompleks penjara gergasi itu meliputi keluasan 166 hektar, kata Menteri Kerja Raya, Romeo Rodriguez.
Menurut Rodriguez, ‘penjara terbesar di Amerika’ akan dikawal siang dan malam oleh 600 askar serta 250 polis.
Sebelum ini, Bukele pernah menyiarkan video di Twitter menunjukkan dirinya melawat kemudahan itu, yang menurutnya adalah antara penjara terbesar di dunia.
Penangkapan besar-besaran suspek penjenayah sebagai sebahagian daripada ‘perang’ kerajaan El Salvador terhadap kumpulan samseng, pernah dikritik oleh pertubuhan hak asasi manusia.
Perisytiharan darurat yang sedang berkuat kuasa membolehkan pihak berkuasa membuat tangkapan tanpa waran.
Ia diperkenalkan pada akhir Mac selepas gelombang pembunuhan yang dikaitkan dengan kumpulan penjenayah melanda El Salvador dan negara lain di rantau terbabit.
Jumaat lalu, pemerhati daripada pertubuhan Hak Asasi Manusia mengecam ‘kesesakan penjara yang teruk’ di penjara El Salvador akibat penangkapan suspek tanpa waran.
Kira-kira 20 penjara di negara itu mempunyai kapasiti keseluruhan 30,000 banduan, tidak termasuk penjara yang baharu dibina.
Bukele pada mulanya mengumumkan penjara mega itu harus disiapkan pada September lalu, bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mengemukakan sebarang sebab atas kelewatan itu. – AFP
Sumber: Berita Harian