Terkini
Edar sejuta al-Quran, PM dikritik mahu tunjuk lebih ‘Islam’ dari PAS
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikritik tidak sepatutnya terlalu bersemangat dalam memenangi sokongan orang Melayu Islam dengan menunjukkan dirinya lebih ‘Islam’ daripada PAS.
- Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengedarkan sejuta naskah al-Quran sebagai tindak balas kepada tindakan ahli politik anti-Islam Sweden, Rasmus Paludan membakar Al-Quran dikritik sejarawan tempatan, Ranjit Singh Malhi.
- Ranjit menyifatkan tindakan Perdana Menteri itu bertujuan menunjukkan dirinya lebih ‘Islam’ daripada PAS dalam memenangi sokongan orang Melayu Islam.
- “Anda memilih untuk bertindak balas terhadap tindakan bodoh seseorang di luar negara dengan kos pembayar cukai Malaysia,” – Ranjit Singh Malhi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikritik tidak sepatutnya terlalu bersemangat dalam memenangi sokongan orang Melayu Islam dengan menunjukkan dirinya lebih ‘Islam’ daripada PAS.
Kritikan itu datang dari sejarawan tempatan, Ranjit Singh Malhi yang ‘terkejut dan kecewa’ dengan keputusan Anwar untuk ‘segera mengedarkan sejuta naskah al-Quran secara global’ sebagai reaksi kepada kejadian pembakaran al-Quran oleh ahli politik anti-Islam di Sweden baru-baru ini.
“Anda memilih untuk bertindak balas terhadap tindakan bodoh seseorang di luar negara dengan kos pembayar cukai Malaysia,” kata ahli sejarah bebas itu menerusi hantaran di laman Facebooknya.
“Selain itu, anda cuba – walaupun secara tidak bijak – untuk memenangi sokongan orang Melayu Islam dengan menunjukkan bahawa anda lebih ‘Islam’ daripada PAS.”
Kritikan hampir sama pernah berlaku lebih tujuh tahun lalu apabila projek Yayasan Maklumat dan Khidmat Islamik mencetak sejuta naskah terjemahan al-Quran untuk diedarkan kepada bukan Islam pada 2015 turut dikiritik segelintir pihak.
Media ketika itu melaporkan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) menyifatkan inisiatif di bawah naungan Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai tidak masuk akal.
MCCBCHST mendakwa orang Islamlah yang terlibat dalam pembunuhan dan kecaman terhadap agama dan agama lain, maka umat Islam perlu dididik tentang ajaran Islam yang sebenar dan bukannya bukan Islam.
Majlis perundingan itu turut menyenaraikan beberapa contoh usaha bersepadu yang didakwa bertujuan memujuk bukan Islam meninggalkan kepercayaan mereka.
Antaranya usaha Multiracial Reverted Muslim (MRM) mengedarkan sekitar 20,000 cakera padat beberapa hari sebelum sambutan Krismas tahun itu, antara lain berjudul ‘Jesus Christ in the Quran’. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Ranjit Singh Malhi