Connect with us

Terkini

Pemandu mabuk, netizen tuntut nyawa dibayar nyawa

Netizen menuntut hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dikenakan hukuman berat seperti nyawa dibayar dengan nyawa dan sebatan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Pemandu mabuk, netizen tuntut nyawa dibayar nyawa
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Tuntutan itu dibuat, berikutan trend pemandu mabuk seolah-olah langsung tiada tanda-tanda menunjukkan ia akan mereda sebaliknya saban hari ada sahaja kejadian melibatkan kehilangan nyawa dan sebagainya akibat golongan tidak bertanggungjawab ini.
  • Rata-rata netizen menyifatkan hukuman sedia ada dikenakan ke atas pemandu mabuk adalah ringan dan langsung tidak menakutkan terutama melibatkan kes kematian mangsa tidak bersalah.

KUALA LUMPUR – Netizen menuntut hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dikenakan hukuman berat seperti nyawa dibayar dengan nyawa dan sebatan.

Tuntutan itu dibuat, berikutan trend pemandu mabuk seolah-olah langsung tiada tanda-tanda menunjukkan ia akan mereda sebaliknya saban hari ada sahaja kejadian melibatkan kehilangan nyawa dan sebagainya akibat golongan tidak bertanggungjawab ini.

Terbaharu, dua kanak-kanak termasuk bayi berusia setahun lima bulan cedera parah akibat kenderaan dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki mabuk di kilometer 57 Jalan Batu Pahat – Mersing lewat petang Sabtu.

Foto (dari kiri): Mohd Yusof Othman (34) Nur Hana Humaira (1), Nur Aisya Humaira (6), Faridah Hassan (37) merupakan mangsa kemalangan di kilometer 57 Jalan Batu Pahat – Mersing.

Tinjauan The Merdeka Times di ruangan komen Facebook, rata-rata netizen menyifatkan hukuman sedia ada yang dikenakan ke atas pemandu mabuk adalah ringan dan langsung tidak menakutkan terutama melibatkan kes kematian mangsa tidak bersalah.

Justeru, netizen mengharapkan kerajaan khususnya menteri terkait mendengar suara rakyat yang begitu menginginkan hukuman jauh lebih berat akan dikenakan kepada golongan ini.

“Asal mabuk je lepas. Nak tunggu rakyat yang jalankan hukuman yang betul-betul setimpal ke?? Otak mana otak..negara lain maju dia nak maju juga tapi undang-undang begini dah bertahun-tahun pun tak boleh nak settle…ke nak tunggu ahli keluarga sendiri yang mati or cacat kena langgar dengan pemandu mabuk baru nak bertindak?? NYAWA harus dibayar dengan NYAWA,” komen pengguna Facebook Masliha Mahat.

“Penjara seumur hidup…baru ada akal sikit..dah tahu mabuk pergi bawa kereta….memang macam pembunuh cari mangsalah…..hukuman kena keras dan berat baru depa takut nak buat.….setakat gantung lesen sahaja jauh dari nyawa itu menteri oiii,” komen pengguna Facebook lain, Fnd.

Antara tangkapan layar reaksi netizen di ruangan komen di Facebook: 

Foto: Tangkap layar komen netizen di Facebook.

Menurut Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 denda bagi kesalahan Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama. 

Pesalah juga berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun, denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun, denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama. 

Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Untuk Seksyen 45 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah pula memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun, denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama. 

Pesalah juga berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya. – The Merdeka Times

Author