Terkini
Kebakaran Putra Heights: Kerajaan boleh tuntut ganti rugi daripada kontraktor jika terbukti cuai – Peguam

- Kerajaan boleh menuntut ganti rugi daripada pihak ketiga yang bertanggungjawab dalam insiden kebakaran paip gas Putra Heights seperti kontraktor atau pemilik saluran paip sekiranya terdapat bukti berlaku kecuaian.
- Selain daripada itu, menurut peguam, Mahmud Abdul Jumaat kerajaan juga wajar menerima pampasan daripada syarikat insurans sekiranya ia telah membiayai pembinaan semula rumah mangsa terlebih dahulu sebagai ganti kepada pampasan yang sepatutnya dibayar kepada pemegang polisi (pemilik rumah).
- Isu pembayaran balik kos pembaikan oleh syarikat insurans kepada kerajaan dalam kes bencana seperti Putra Heights itu adalah melibatkan prinsip asas undang-undang insurans, iaitu prinsip indemniti yang melarang pampasan berganda (double compensation).
KUALA LUMPUR — Kerajaan boleh menuntut ganti rugi daripada pihak ketiga yang bertanggungjawab dalam insiden kebakaran paip gas Putra Heights seperti kontraktor atau pemilik saluran paip sekiranya terdapat bukti berlaku kecuaian.
Selain daripada itu, menurut peguam, Mahmud Abdul Jumaat kerajaan juga wajar menerima pampasan daripada syarikat insurans sekiranya ia telah membiayai pembinaan semula rumah mangsa terlebih dahulu sebagai ganti kepada pampasan yang sepatutnya dibayar kepada pemegang polisi (pemilik rumah).
Jelasnya, isu pembayaran balik kos pembaikan oleh syarikat insurans kepada kerajaan dalam kes bencana seperti Putra Heights itu adalah melibatkan prinsip asas undang-undang insurans, iaitu prinsip indemniti yang melarang pampasan berganda (double compensation).
“Sekiranya kerajaan membiayai pembinaan semula rumah mangsa terlebih dahulu, syarikat insurans masih terikat untuk membayar pampasan kepada pemegang polisi jika kerosakan tersebut dilindungi di bawah polisi.
“Namun, memandangkan kerugian itu telah ditanggung kerajaan, pemilik rumah tidak sepatutnya mendapat pampasan secara langsung, dan sebaliknya wang tersebut wajar diserahkan kepada kerajaan bagi mengelakkan pengayaan (perbuatan atau hal mengayakan) tidak sah,” kata Mahmud kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Tambahnya, perkara itu boleh dilakukan secara sah melalui pemindahan hak (assignment), perjanjian bertulis atau persetujuan tiga pihak antara pemilik rumah, kerajaan dan syarikat insurans.
Jelas beliau, mekanisme itu memastikan tanggungjawab insurans dilaksanakan tanpa menyebabkan pampasan dua kali ke atas kerugian yang sama.
“Dari sudut undang-undang kontrak dan ekuiti, kerajaan yang membelanjakan wang bagi membina semula rumah mangsa dianggap memberi manfaat yang tidak dilakukan secara sukarela sepenuhnya.
“Ini mewujudkan hak tuntutan balik berdasarkan Seksyen 71 Akta Kontrak 1950,” katanya ketika diminta mengulas tentang sekiranya kerajaan mendahulukan kos baik pulih dan pembinaan semula rumah, adakah pihak insurans bertanggungjawab untuk membayar semula kepada kerajaan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 30 April lalu dilapor berkata Kerajaan Persekutuan akan menanggung kos baik pulih rumah-rumah mangsa insiden kebakaran paip gas Putra Heights sehingga RM300,000 sahaja.
Kejadian pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
Mengulas lanjut, Mahmud berkata bagi syarikat insurans walaupun tiada kontrak terus dengan kerajaan, ia masih bertanggungjawab membayar pemegang polisi di mana mereka kemudiannya wajib menyerahkan pampasan itu kepada kerajaan sebagai balasan kepada bantuan diterima.
Beliau berkata proses itu boleh dilaksanakan secara pentadbiran tanpa memerlukan litigasi, contohnya dengan mengarahkan syarikat insurans membayar terus kepada agensi pelaksana seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Katanya, jika berlaku keengganan atau pertikaian, pemilik rumah boleh memfailkan tindakan undang-undang terhadap syarikat insurans atau kerajaan boleh menuntut sebagai penerima hak melalui dokumen assignment.
“Walaupun tiada undang-undang khusus di Malaysia yang menyatakan syarikat insurans wajib membayar balik kerajaan secara langsung, prinsip undang-undang yang sedia ada, termasuk prinsip subrogasi, indemniti dan pemulihan kos, mencukupi untuk memastikan kerajaan tidak menanggung beban kewangan secara sepenuhnya apabila pemilik rumah sebenarnya mempunyai perlindungan insurans,” katanya. — The Merdeka Times
