Antarabangsa
Kebakaran Israel: Hamas nafi terlibat, Netanyahu bohong, tidak bertanggungjawab

- Anggota Biro Politik Hamas yang juga jurucakap pergerakan itu, Basem Naim berkata Hamas tidak mengenali identiti individu yang ditahan dan tidak mempunyai sebarang maklumat awal tentang kegiatan tersebut.
- “Kami meragui naratif pihak penjajah kerana kami sudah biasa dengan pembohongan mereka dan cara mereka mengelak daripada tanggungjawab politik dan undang-undang atas kegagalan mereka, lalu menyalahkan pihak lain.”
- “Saya tidak percaya bahawa mana-mana yang ditahan mempunyai kaitan dengan Hamas.”
BAITULMAQDIS – Hamas menafikan penglibatan mereka dalam insiden kebakaran besar di negara haram Israel dan menyifatkan tuduhan Israel mengaitkan penglibatan Hamas atau rakyat Palestin sebagai satu pembohongan dan tidak bertanggungjawab.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Khamis menyebut kebakaran itu sebagai “bencana alam dan buatan manusia,” serta menuduh rakyat Palestin sebagai penyumbang kepada kebakaran, jika tidak pun sebagai pencetusnya.
Beliau mengumumkan pada Khamis bahawa 18 suspek telah ditahan kerana disyaki melakukan pembakaran ketika kebakaran besar yang telah merebak lebih daripada 5,000 ekar di kaki bukit Baitulmaqdis.
Namun, angka ini dipertikaikan oleh sumber polis yang melaporkan hanya tiga individu ditahan kerana cubaan membakar di lokasi berasingan yang tidak berkaitan dengan kebakaran di Baitulmaqdis.
Anggota Biro Politik Hamas yang juga jurucakap pergerakan itu, Basem Naim berkata Hamas tidak mengenali identiti individu yang ditahan dan tidak mempunyai sebarang maklumat awal tentang kegiatan tersebut.
“Kami meragui naratif pihak penjajah kerana kami sudah biasa dengan pembohongan mereka dan cara mereka mengelak daripada tanggungjawab politik dan undang-undang atas kegagalan mereka, lalu menyalahkan pihak lain.
“Saya tidak percaya bahawa mana-mana yang ditahan mempunyai kaitan dengan Hamas,” katanya kepada Newsweek.
Ditanya sama ada Hamas menyokong tindakan seperti itu, Basem menyatakan bahawa “menentang penjajahan dengan segala cara dan kaedah, termasuk penentangan bersenjata, adalah hak yang sah bagi rakyat yang hidup di bawah penjajahan, dan kami menyeru serta menggalakkan perkara ini.” – The Merdeka Times
