Terkini
Isu kuil haram: Suspek ugut bunuh Firdaus Wong belum didakwa walaupun kertas siasatan diserah kepada Peguam Negara hampir 2 bulan

- Pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung mempersoal mengapa masih tiada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap individu bernama Mohan Raj Thangaraju yang mengugut untuk membunuh beliau selepas membangkitkan isu pembinaan kuil haram di negara ini.
- Persoalan itu dibangkitkan Firdaus kerana meskipun kertas siasatan telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut, suspek masih bebas dan belum didakwa walaupun hampir dua bulan sudah berlalu.
- Katanya, pendakwaan juga tidak dilakukan walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengesahkan mesej ugutan dihantar daripada telefon bimbit suspek yang turut mengaku melakukan perbuatan tersebut.
- “Ianya jauh berbeza dengan kes yang hampir sama terhadap Harith Iskander dimana individu bernama Izzuddin Md Salim yang membuat ugutan bunuh terhadap Harith Iskander dan keluarga telah ditahan pada 24 Jan 2025 dan didakwa pada 31 Jan 2025, iaitu seminggu sahaja dari tarikh suspek ditahan.” – Firdaus Wong
KUALA LUMPUR — Pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung mempersoal mengapa masih tiada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap individu bernama Mohan Raj Thangaraju yang mengugut untuk membunuh beliau selepas membangkitkan isu pembinaan kuil haram di negara ini.
Persoalan itu dibangkitkan Firdaus kerana meskipun kertas siasatan telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut, suspek masih bebas dan belum didakwa walaupun hampir dua bulan sudah berlalu.
Katanya, pendakwaan juga tidak dilakukan walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengesahkan mesej ugutan dihantar daripada telefon bimbit suspek yang turut mengaku melakukan perbuatan tersebut.
“Ianya jauh berbeza dengan kes yang hampir sama terhadap Harith Iskander dimana individu bernama Izzuddin Md Salim yang membuat ugutan bunuh terhadap Harith Iskander dan keluarga telah ditahan pada 24 Jan 2025 dan didakwa pada 31 Jan 2025 iaitu seminggu sahaja dari tarikh suspek ditahan.
“Suspek ugut bunuh Harith Iskander dan ahli keluarga dijatuhkan hukuman penjara 5 bulan dan denda RM2,000 atas perbuatannya tetapi suspek kes saya masih belum lagi didakwa apatah lagi dihukum setelah hampir dua bulan!
“SKMM telah mengesahkan mesej tersebut dihantar dari telefon bimbit suspek dan suspek juga telah membuat pengakuan.
“Saya masih tertanya-tanya mengapa masih tiada lagi pendakwaan terhadap suspek kes ugutan bunuh terhadap saya?,” kata Firdaus menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Firdaus pada 21 Mac lalu dilapor mendakwa menerima ugutan bunuh dari Mohan Raj Thangaraju menerusi mesej peribadi di Facebook selepas beliau membangkitkan isu pembinaan kuil haram di negara ini.
Menurut beliau, apa dibangkitkan sebelum ini adalah berkenaan undang-undang tentang pembinaan kuil haram sebagaimana dilaporkan media dan kajian, namun terdapat pihak tertentu yang beremosi tanpa fakta berhubung perkara itu sehingga membuat ugutan bunuh terhadapnya.
Susulan itu, pada hari sama pendakwah bebas berkenaan dilapor membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor, bagi keselamatan dirinya dan keluarga.
Menurut Firdaus, suspek sebelum ini ditahan pihak polis pada 23 Mac lalu dan direman dua hari untuk disoal siasat. — The Merdeka Times
