Antarabangsa
Singapura sekat beberapa hantaran Facebook menjelang PRU

- Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom Singapura (IMDA) telah mengarahkan Meta, syarikat induk Facebook, untuk mengambil tindakan.
- Kenyataan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) menegaskan bahawa warga asing tidak boleh mengarahkan, membiayai atau mempengaruhi pilihan raya di Singapura dalam apa jua cara, sambil menekankan bahawa politik Singapura mesti ditentukan sepenuhnya oleh rakyat Singapura.
- “Kita tidak boleh mencampurkan agama dengan politik. Singapura ialah sebuah negara sekular. Institusi kita berkhidmat untuk semua rakyat Singapura secara sama rata. Membawa unsur agama ke dalam politik akan melemahkan perpaduan dan keharmonian sosial, seperti yang telah berlaku di negara lain yang berpolitik berasaskan kaum atau agama.” – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya.
SINGAPURA — Singapura telah mengehadkan akses kepada beberapa hantaran Facebook yang dibuat oleh individu asing, dengan alasan cubaan untuk campur tangan dalam Pilihan Raya Umum yang dijadualkan pada 3 Mei.
Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom Singapura (IMDA) telah mengarahkan Meta, syarikat induk Facebook, untuk mengambil tindakan.
Dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) berkata bahawa kerajaan telah mengenal pasti beberapa warga asing yang didakwa cuba mempengaruhi pilihan raya umum kali ini.
Menurut Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA), adalah menyalahi undang-undang bagi warga asing untuk terlibat dalam aktiviti berkaitan pilihan raya atau menerbitkan iklan pilihan raya secara dalam talian.
Kenyataan itu menegaskan bahawa warga asing tidak boleh mengarahkan, membiayai atau mempengaruhi pilihan raya di Singapura dalam apa jua cara, sambil menekankan bahawa politik Singapura mesti ditentukan sepenuhnya oleh rakyat Singapura.
“Siaran-siaran tersebut menyasarkan rakyat Singapura. Ia mencampuri politik dalaman negara kita yang sememangnya dikhaskan untuk rakyat kita. Mereka juga menggesa rakyat Singapura untuk mengundi berdasarkan garis kaum dan agama, dan ini telah menyebabkan lebih banyak siaran media sosial bersifat serupa,” kata kenyataan itu.
“Kita tidak boleh mencampurkan agama dengan politik. Singapura ialah sebuah negara sekular. Institusi kita berkhidmat untuk semua rakyat Singapura secara sama rata. Membawa unsur agama ke dalam politik akan melemahkan perpaduan dan keharmonian sosial, seperti yang telah berlaku di negara lain yang berpolitik berasaskan kaum atau agama,” tegas kenyataan tersebut.
Perdana Menteri Lawrence Wong turut mengulas isu ini dalam satu sidang media pada Sabtu, dengan menekankan kepentingan untuk menghalang pengaruh asing daripada mencampuri pilihan raya di Singapura.
“Rakyat Singapura mungkin mempunyai pandangan yang berbeza tentang sesuatu isu, tetapi kita tidak boleh membenarkan pihak luar mengeksploitasi perbezaan ini untuk melemahkan kita atau untuk kepentingan mereka sendiri.
“Politik Singapura mesti diputuskan oleh rakyat Singapura sahaja,” katanya.
Beliau menyeru agar rakyat menolak politik berasaskan identiti serta tidak mencampurkan kaum dan agama dengan politik.
“Kita mesti memastikan pihak luar tidak memperalatkan perbezaan kita untuk memecah-belahkan kita atau memenuhi agenda mereka,” katanya, sambil menggesa rakyat untuk mempertahankan perpaduan serta mengekalkan keamanan dan keharmonian untuk masa depan. -The Merdeka Times
