Connect with us

Antarabangsa

Israel halang ribuan penganut Kristian masuk Baitulmaqdis, gereja digesa tegas tentang Zionis

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Sambutan keagaman, Ahad Palma,
  • Kumpulan penganut Kristian Timur dan Barat setiap tahun biasanya akan menyambut Ahad Palma, iaitu hari kemasukan Nabi Isa a.s. ke Baitulmaqdis, seminggu sebelum Easter, dengan doa dan perarakan.
  • Tahun ini, pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan tentera yang ketat di sekitar Baitulmaqdis dan Kota Lama, menghalang penganut Kristian daripada mendapat akses ke kawasan itu.
  • Rakyat Palestin, sama ada Muslim atau Kristian, perlu mendapatkan permit khas untuk melepasi pos pemeriksaan tentera dan memasuki tempat-tempat suci di bandar tersebut, termasuk Masjid Al-Aqsa dan Gereja Makam Suci.

BAITULMAQDIS – Gereja-gereja di seluruh dunia dan masyarakat antarabangsa digesa tegas menentang apa yang disifatkan sebagai pencabulan berterusan terhadap kebebasan beragama dan kempen kejam bagi menghapuskan rakyat Palestin dan perjuangan mereka.

Terbaru, ribuan penganut Kristian di Tebing Barat dihalang tentera Israel daripada memasuki Baitulmaqdis untuk mengambil bahagian dalam sambutan keagaman, Ahad Palma.

Menurut Agensi Berita Rasmi Palestin WAFA yang dipetik Palestine Chronicle, kumpulan penganut Kristian Timur dan Barat setiap tahun akan menyambut Ahad Palma, iaitu hari kemasukan Nabi Isa a.s. ke Baitulmaqdis, seminggu sebelum Easter, dengan doa dan perarakan.

Namun tahun ini, pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan tentera yang ketat di sekitar Baitulmaqdis dan Kota Lama, menghalang mereka daripada mendapat akses ke kawasan itu.

Rakyat Palestin, sama ada Muslim atau Kristian, perlu mendapatkan permit khas untuk melepasi pos pemeriksaan tentera dan memasuki tempat-tempat suci di bandar tersebut, termasuk Masjid Al-Aqsa dan Gereja Makam Suci.

Menurut Al-Jazeera, proses mendapatkan permit ini semakin sukar. Pemohon perlu lulus semakan keselamatan Israel, menerima kad pengenalan digital, dan perlu memuat turun aplikasi mudah alih untuk membuat permohonan masuk — yang sering kali ditolak.

Ibrahim Faltas, Timbalan Ketua Penjaga Tanah Suci, berkata hanya 6,000 permit diberikan tahun ini kepada penganut Kristian Palestin dari Tebing Barat, walaupun jumlah penduduk Kristian di kawasan itu dianggarkan 50,000 orang.

“Untuk tahun kedua berturut-turut, penyertaan dalam doa Minggu Suci dan Easter telah dihadkan disebabkan perang yang berterusan,” katanya.

Namun tahun ini, semua gereja di Tebing Barat membatalkan semua sambutan meriah dan hanya mengadakan doa dan upacara keagamaan berikutan serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Di Gaza, walaupun berdepan pengeboman Israel, penganut Kristian tetap berhimpun di Gereja Holy Family dan Gereja Ortodoks Yunani St. Porphyrius bagi memperingati hari tersebut.

Sebagai reaksi terhadap sekatan Zionis itu, Hamas, mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan Israel, menyifatkannya sebagai sebahagian daripada dasar pengecualian perkauman dan penindasan sistematik.

Menurut Hamas, penafian akses penganut Kristian Tebing Barat ke Baitulmaqdis adalah satu lagi contoh usaha Israel untuk memutuskan rakyat Palestin daripada tanah dan tempat suci mereka.

“Sekatan ini adalah sebahagian dasar pendudukan dan perkauman yang menyasarkan rakyat Palestin dalam semua lapisan masyarakatnya.

“Cubaan jenayah ini bertujuan mengasingkan rakyat Palestin daripada tanah dan tempat suci mereka,” tambah kenyataan itu. – The Merdeka Times

Author