Terkini
Pesalah khalwat berulang sokong sebatan di khalayak ramai diteruskan

- Pesalah khalwat berulang yang menjalani hukuman sebat di khalayak ramai (sebat di luar penjara) pada penghujung Disember lalu, menyokong hukuman itu terus dilaksanakan kepada pesalah-pesalah khalwat dan kesalahan berkaitan syariah di Terengganu.
- “Memang betul-betul menginsafkan, saya tidak mahu buat lagi biarlah ini kali terakhir. Sewaktu kena? Rasa macam tiada perasaan, tidak tahu hendak kata benda, sakit campur malu ada belaka.
- “Sakit itu tidak mengapa boleh hadap lagi. Sepuluh boleh hadap lagi 20 boleh hadap lagi, tetapi malu itu.
- “(Tetapi) cara dia itu moleklah, saya sokong. Ia boleh beri pengajaran kepada orang lain sebab saya tahu betapa peritnya malu itu, datangnya keinsafan, bukan peritnya sakit. Kena (sebat) memang sakit, kalau kita ‘piat’ (rotan) lembu pun lembu lari, tetapi jika dibandingkan dengan sebatan dadah (sivil) yang itu lebih teruk lagi,” katanya dipetik Trdi.My Khamis lalu.
KUALA LUMPUR — Pesalah khalwat berulang yang menjalani hukuman sebat di khalayak ramai (sebat di luar penjara) pada penghujung Disember lalu, menyokong hukuman itu terus dilaksanakan kepada pesalah-pesalah khalwat dan kesalahan berkaitan syariah di negeri Terengganu.
Buruh binaan berusia 43 tahun itu menyifatkan, kelainan pelaksanaan hukuman tersebut benar-benar memberikan kesan kepada dirinya.
“Memang betul-betul mendatangkan keinsafan, saya tidak mahu buat lagi biarlah ini kali terakhir. Sewaktu kena? Rasa macam tiada perasaan, tidak tahu hendak kata benda, sakit campur malu ada belaka.
“Sakit itu tidak mengapa boleh hadap lagi. Sepuluh boleh hadap lagi 20 boleh hadap lagi, tetapi malu itu.
“(Tetapi) cara dia itu moleklah, saya sokong. Ia boleh beri pengajaran kepada orang lain sebab saya tahu betapa peritnya malu itu, datangnya keinsafan, bukan peritnya sakit. Kena (sebat) memang sakit, kalau kita ‘piat’ (rotan) lembu pun lembu lari, tetapi jika dibandingkan dengan sebatan dadah (sivil) yang itu lebih teruk lagi,” katanya dipetik Trdi.My pada Khamis lalu.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas dibebaskan bersama 47 banduan lain menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Penjara Marang.
Menerima pembebasan secara PBSL setelah kira-kira tiga bulan ditahan, dia yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah berhasrat kembali bekerja semula.
“Tidak pandai mana nak beri nasihat, sebab kita rasa macam nak beri nasihat kita ini tidak berapa molek lagi, tidak betul lagi.
“Kepada budak-budak muda sekarang ini, sudahlah buat-buat berkhalwat, sakit tidak balas (setara) mana, tetapi malunya lebih. Sedap sekejap saja, sakit sekejap saja tetapi malu lama. Habis malu anak keluarga kita, tak payah buatlah,” katanya.
Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai itu sebelum ini mendapat pelbagai reaksi daripada ramai pihak, termasuk ada yang membantah dan mengkritiknya kerana menganggap ia tidak menghormati maruah manusia dan pada masa sama seorang pakar psikiatri menegaskan bahawa dalam Islam prinsip ‘public caning’ atau sebat di khalayak ramai bukan bermaksud ingin memalukan, tetapi ia mendidik masyarakat.
Pada 27 Disember lalu, BERNAMA melaporkan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap buruh yang melakukan kesalahan khalwat berulang dilaksanakan di Dewan ‘Aasim, Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Terengganu selepas solat Jumaat, menjadikan pesalah berumur 42 tahun itu yang mengaku bersalah berkhalwat buat kali ketiga, sebagai individu pertama di Terengganu disebat di khalayak ramai.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail pada 20 November 2024 dilaporkan,menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Sariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Hukuman itu dijatuhkan kerana ia kesalahan ketiga tertuduh, memandangkan pada 19 Feb lalu, dia dijatuhkan empat sebatan secara tertutup dalam penjara dan didenda RM3,000 kerana kesalahan khalwat kali kedua, selain pernah didenda RM2,700 untuk kesalahan sama pada 11 Julai 2023.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang berkuat kuasa 1 Jan lalu, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara. — The Merdeka Times
