Connect with us

Antarabangsa

Mesut Ozil sertai politik, parti Erdogan

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Pemain bola sepak Mesut Ozil (Kiri) & Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan (Kanan)
  • Pemain bola sepak Mesut Ozil, yang pernah memenangi Piala Dunia bersama Jerman menceburi dunia politik Turkiye dengan menjadi pembuat keputusan kanan dalam parti pemerintah negara itu, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).
  • Ozil bukanlah pemain bola sepak pertama yang menyertai barisan AKP. Bekas pemain pertahanan Aston Villa, Alpay Ozalan, telah menjadi ahli parlimen Turkiye sejak 2018.

ANKARA –Pemain bola sepak Mesut Ozil, yang pernah memenangi Piala Dunia bersama Jerman, telah menceburi dunia politik Turkiye dengan menjadi pembuat keputusan kanan dalam parti pemerintah negara itu.

Ozil menyertai jawatankuasa keputusan dan eksekutif pusat Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pada kongres di Ankara pada Ahad lalu di mana Presiden Recep Tayyip Erdogan telah dipilih semula sebagai ketua parti untuk kali ke-sembilan.

Pemain bola sepak berdarah campuran Jerman-Turkiye ini dilapor mempunyai hubungan rapat dengan Erdogan selama beberapa tahun.

Pada tahun 2019, presiden tersebut menjadi saksi perkahwinan Ozil dengan bekas Miss Turkiye, Amine Gulse.

Sepanjang kerjaya bola sepaknya yang cemerlang, beliau pernah bermain untuk Real Madrid, Arsenal, dan Fenerbahce, selain beberapa kelab lain, memenangi gelaran La Liga Sepanyol dan empat trofi Piala FA Inggeris.

Beliau bermain sebanyak 92 kali untuk pasukan kebangsaan Jerman, memenangi Piala Dunia pada tahun 2014, dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Pasukan Kebangsaan Jerman sebanyak lima kali.

Namun hubungannya dengan pasukan kebangsaan mula retak selepas Piala Dunia 2018, apabila Ozil bersara daripada bola sepak antarabangsa, mendakwa bahawa media Jerman dan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) telah mendiskriminasi beliau secara perkauman.

“Saya dianggap sebagai rakyat Jerman apabila kita menang, tetapi sebagai pendatang apabila kita kalah,” katanya pada masa itu.

Insiden tersebut berlaku beberapa minggu selepas Ozil dan Ilkay Gundogan, seorang lagi pemain antarabangsa Jerman berketurunan Turkiye, dikritik di Jerman selepas gambarnya bersama Erdogan tersebar.

“Kerja saya adalah sebagai pemain bola sepak dan bukan sebagai ahli politik, dan pertemuan kami bukanlah satu sokongan terhadap sebarang dasar,” kata Ozil pada masa itu.

“Layanan yang saya terima daripada DFB dan ramai yang lain membuatkan saya tidak lagi mahu memakai jersi pasukan kebangsaan Jerman. Saya rasa tidak dihargai dan apa yang telah saya capai sejak penampilan sulung antarabangsa saya pada 2009 telah dilupakan,” jelas Ozil.

Sejak itu, Ozil telah membuat beberapa kenyataan mengenai isu politik dan hak asasi manusia.

Beliau secara terbuka mengutuk tindakan keras China terhadap umat Islam Uyghur pada Disember 2019, yang telah menimbulkan kemarahan pihak berkuasa China. Ketika itu, kelabnya Arsenal berlepas diri daripada kenyataan tersebut.

Beliau juga kerap bersuara menyokong hak rakyat Palestin dan menentang penyalahgunaan kuasa oleh Israel.

Ozil bukanlah pemain bola sepak pertama yang menyertai barisan AKP. Bekas pemain pertahanan Aston Villa, Alpay Ozalan, telah menjadi ahli parlimen Turkiye  sejak 2018. -The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *