Antarabangsa
Mesir digesa ambil alih Gaza sebagai pertukaran pengurangan hutang – Pembangkang Israel

- Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid mencadangkan agar Mesir mengambil alih kawalan pentadbiran Semenanjung Gaza selama sehingga 15 tahun sebagai pertukaran untuk mendapatkan pengurangan hutang luar negara yang melebihi 150 bilion dolar Amerika.
- Setakat ini, tiada respon diberikan oleh Mesir, Pihak Berkuasa Palestin atau mana-mana kumpulan penentangan mengenai cadangan tersebut.
JERUSALEM— Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid mencadangkan agar Mesir mengambil alih kawalan pentadbiran Semenanjung Gaza selama sehingga 15 tahun sebagai pertukaran untuk mendapatkan pengurangan hutang luar negara yang melebihi 150 bilion dolar Amerika.
Pelan tersebut akan menyaksikan Mesir mengambil tanggungjawab untuk menguruskan wilayah itu selama lapan tahun, dengan pilihan untuk melanjutkannya sehingga 15 tahun.
Setakat ini, tiada respon diberikan oleh Mesir, Pihak Berkuasa Palestin atau mana-mana kumpulan penentangan mengenai cadangan tersebut.
Menurut akhbar Israel, Maariv, Lapid mengumumkan cadangan tersebut semasa ucapan di Foundation for Defense of Democracies (FDD) di Washington dan kemudiannya memuat naiknya di platform X.
“Saya baru-baru ini membentangkan satu pelan di Washington untuk pasca perang di Gaza.
“Di tengah-tengah pelan ini, Mesir akan mengambil alih tanggungjawab untuk Gaza selama (sehingga) 15 tahun, sementara pada masa yang sama hutang luarannya sebanyak $155 bilion akan dibatalkan oleh komuniti antarabangsa,” tulisnya.
Menurut Lapid, disebabkan ekonomi Mesir berada di ambang keruntuhan dan mengancam kestabilan Mesir dan seluruh Timur Tengah selain hutang luar negara sebanyak $155 bilion tidak membenarkan Mesir membina semula ekonominya dan memperkuat tenteranya, maka beliau mencadangkan penyelesaian tersebut.
Selama 18 tahun Israel telah mengenakan sekatan ke atas Gaza secara efektif menjadikannya sebagai penjara terbuka.
Pembunuhan beramai-ramai baru-baru ini telah menyebabkan kira-kira 1.5 juta daripada 2.4 juta penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal.
Lapid mendakwa bahawa dalam tempoh 15 tahun tersebut, Gaza akan dibina semula dan syarat-syarat untuk pemerintahan sendiri akan diwujudkan.
Mesir akan menjadi pemain utama dan akan mengawasi pembinaan semula, yang seterusnya akan mengukuhkan lagi ekonominya.”
Hamas sebelum ini menolak sebarang rancangan untuk melucutkan senjata atau disingkir dari Gaza, dengan menyatakan bahawa masa depan wilayah tersebut mesti ditentukan melalui konsensus kebangsaan Palestin.
Israel terus menjajah wilayah Palestin, Syria, Lubnan dan enggan berundur atau mengiktiraf sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya dalam sempadan pra-1967.-The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login