Terkini
Haramkan vape: “Tak hendak seribu dalih” – Doktor Farmasi Klinikal

- Itu komen ringkas Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed berhubung kenyataan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang berpandangan bahawa agak sukar untuk Kerajaan mengharamkan vape.
- Shamsul Iskandar melihat yang lebih penting ketika ini adalah aspek kawalan, khususnya menghalang cecair vape dicampur bahan terlarang terutama dadah.
- Pakar Perubatan Keluarga, Dr Amirul Amzar pula menegaskan sebarang keputusan berkaitan vape perlu dibuat berdasarkan bukti saintifik dan kepentingan kesihatan awam, bukan semata-mata atas kepentingan industri.
- Dr Amirul juga mempersoalkan bagaimana dalam hal ini kita boleh bercakap tentang kawal selia, sedangkan produk kawalan seperti rokok pun masih gagal dikawal sepenuhnya.
- “Kita perlu bertanya—adakah kita mahu mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan generasi muda demi keuntungan ekonomi jangka pendek?,” katanya kepada The Merdeka Times hari ini.
KUALA LUMPUR — “Tak hendak seribu dalih.”
Itu reaksi ringkas Doktor Farmasi Klinikal, Profesor Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed berhubung kenyataan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang semalam dilaporkan Berita Harian berpandangan bahawa agak sukar untuk kerajaan membuat keputusan drastik mengharamkan vape.
Sebaliknya, Shamsul Iskandar melihat yang lebih penting ketika ini adalah aspek kawalan, khususnya bagaimana pemain industri vape mengawal ‘ekosistem’ perniagaan mereka supaya tidak dicemari penjualan cecair vape yang dicampur bahan terlarang terutama dadah.
Beliau mendedahkan pemain industri vape di negara ini majoritinya dalam kalangan anak muda, dengan mereka meraih pendapatan sangat lumayan hasil jualan rokok elektronik terbabit.
Dalam pada itu, Mohamad Haniki ketika ditanya apakah kekangan kerajaan untuk mengharamkan vape susulan negara jiran kita sendiri iaitu Singapura berupaya melakukannya, beliau berkata ia kerana tiada ‘political will’.
“Senang cakap ‘tiada political will’,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini yang turut menyertakan pautan ke portal berita bertajuk, “Kerajaan haramkan vape jika rakyat sokong – Lukanisman”.

Foto: Pakar Perubatan Keluarga, Dr Amirul Amzar
Turut mengulas isu sama, Pakar Perubatan Keluarga, Dr Amirul Amzar menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan vape perlu dibuat berdasarkan bukti saintifik dan kepentingan kesihatan awam, bukan semata-mata atas kepentingan industri.
Dr Amirul juga mempersoalkan bagaimana dalam hal ini kita boleh bercakap tentang kawal selia, sedangkan produk kawalan seperti rokok pun masih gagal dikawal sepenuhnya dan kita boleh melihat rokok seludup serta rokok bercampur ganja di pasaran.
Beliau yang juga Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia (M3) berkata, kita juga dapat melihat bagaimana cecair vape hari ini lebih mudah dimanipulasi di mana terdapat kes vape dicampur dengan bahan terlarang seperti dadah sintetik atau ubat khayal, bahkan terdapat insiden seorang remaja perempuan diberikan vape dicampur ubat khayal secara sengaja, lalu menjadi mangsa rogol.
“Jika kita mengutamakan keuntungan industri tanpa mempertimbangkan kesan sosial, berapa ramai lagi anak muda yang akan terjebak dalam kancah ketagihan dan jenayah?
“Kita perlu bertanya—adakah kita mahu mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan generasi muda demi keuntungan ekonomi jangka pendek?,” katanya.
Tambah beliau, isu vape bukan hanya tentang kesihatan fizikal, tetapi juga ketagihan dan masalah sosial.
Katanya, kajian menunjukkan bahawa ‘vaping’ dalam kalangan remaja boleh menjadi ‘gateway’ kepada ketagihan lain, termasuk rokok dan dadah, malah terdapat bukti kukuh bahawa remaja yang menggunakan vape lebih cenderung mengalami masalah kesihatan mental, menjadi mangsa penderaan dalam hubungan (victimization) dan terlibat dalam tingkah laku berisiko tinggi. — The Merdeka Times
