Terkini
Agong titah panglima, komandan letak jawatan jika gagal tangani kes dera di UPNM
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah panglima dan komandan perlu bertanggungjawab dengan meletak jawatan jika gagal menangani kes dera di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
- Bagi melahirkan seorang pegawai tentera sememangnya memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras tetapi ia tidak sampai ke tahap mendera sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
- Lebih mendukacitakan baginda, insiden penderaan terus berlaku pada setiap tahun seperti tiada usaha serius diambil mana-mana pihak walaupun insiden sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah.
- Baginda menginginkan budaya penderaan ini dihentikan serta-merta dan sudah tiba masanya untuk semua pihak berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu serta memulihkan nama baik universiti berkenaan.
- “Jika ia (penderaan) terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-14 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini yang dikongsikan menerusi Facebook.
KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah panglima dan komandan perlu bertanggungjawab dengan meletak jawatan jika gagal menangani kes dera di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Seri Paduka Baginda dalam titah sulung selaku Canselor UPNM menzahirkan rasa dukacita dengan budaya penderaan yang berlaku sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kadet pada 2017.
Sultan Ibrahim bertitah bagi melahirkan seorang pegawai tentera sememangnya memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras tetapi ia tidak sampai ke tahap mendera sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
Lebih mendukacitakan baginda, insiden penderaan terus berlaku pada setiap tahun seperti tiada usaha serius diambil mana-mana pihak walaupun insiden sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah.
Justeru, baginda menginginkan budaya penderaan ini dihentikan serta-merta dan sudah tiba masanya untuk semua pihak berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu serta memulihkan nama baik universiti berkenaan.
“Jika ia (penderaan) terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.
“Saya percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-14 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini yang dikongsikan menerusi Facebook.
Sultan Ibrahim bertitah falsafah utama UPNM adalah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan kerana itu universiti tersebut dikawal selia Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) yang membawa makna disiplin dan budaya tentera adalah falsafah utama universiti berkenaan.
Pada 2017, negara digemparkan dengan insiden sadis membabitkan pegawai kadet laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menemui ajal selepas dibuli, dipukul dan diseksa dengan kejam apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap selepas beliau dituduh mencuri sebuah komputer riba.
Enam pelakunya, yang juga bekas penuntut UPNM, dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Rayuan pada Julai lalu kerana membunuh Allahyarham Zulfarhan, tujuh tahun lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 27 November lalu dilaporkan berkata lima pegawai kadet (PK) ALK UPNM diberhentikan dan diarah membayar ganti rugi kerana terbabit dalam tiga kes penganiayaan membabitkan pegawai kadet lain.
Ia termasuk kes melibatkan penganiayaan tekapan seterika ke dada PK Muhammad Salman Mohd Saiful Surash oleh PK Amirul Iskandar Ahmad Norhizan yang dikesan jurulatih bertugas ALK semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober lalu. — The Merdeka Times