Connect with us

Terkini

Pandangan Mufti Terengganu tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan – Pakar Perlembagaan

Pendapat Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berhubung seorang Muslim boleh memasuki rumah ibadat bukan Islam untuk berdakwah adalah pandangan yang betul dan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.
  • Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata tiada undang-undang melarang pendakwah Islam untuk menyebarkan atau mengembangkan Islam berikutan hak tersebut dilindungi Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. 
  • Muslim diberikan hak secara mutlak untuk mengembangkan agama Islam, manakala bagi orang bukan Islam mereka tertakluk dengan sekatan ditetapkan undang-undang.
  • “Oleh demikian pandangan Mufti Terengganu yang mengatakan seorang Islam boleh memasuki rumah ibadat bukan Islam untuk tujuan berdakwah adalah satu pandangan yang betul dan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
  • “Melainkan jika seseorang itu masuk ke rumah ibadat bukan Islam tanpa kebenaran, maka itu tentunya satu tindakan bercanggah undang-undang, tetapi kita melihat insiden baru-baru ini, beberapa peserta kursus memasuki rumah ibadat bukan Islam dengan kebenaran dan tentunya dalam hal ini dakwah itu bukan satu perkara mendatangkan kekacauan ataupun pertelingkahan di antara kaum, ” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Selasa.
  • Muhammad Fathi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng yang menyatakan pandangan Mufti Terengganu berhubung Muslim boleh memasuki rumah ibadat bukan Islam untuk berdakwah adalah tidak wajar dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

KUALA LUMPUR —- Pendapat Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berhubung seorang Muslim boleh memasuki rumah ibadat bukan Islam untuk berdakwah adalah pandangan yang betul dan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata ini kerana tiada undang-undang yang melarang pendakwah Islam untuk menyebarkan atau mengembangkan Islam berikutan hak tersebut dilindungi Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. 

Muhammad Fathi berkata Muslim diberikan hak secara mutlak untuk mengembangkan agama Islam, manakala bagi orang bukan Islam mereka tertakluk dengan sekatan ditetapkan undang-undang.

Katanya,  perbezaan itu sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan sejarah Malaysia yang dahulu merupakan pemerintahan berteraskan Kesultanan Islam.

“Oleh demikian pandangan Mufti Terengganu yang mengatakan seorang Islam boleh memasuki rumah ibadat bukan Islam untuk tujuan berdakwah adalah satu pandangan yang betul dan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

“Melainkan jika seseorang itu masuk ke rumah ibadat bukan Islam tanpa kebenaran, maka itu tentunya satu tindakan bercanggah undang-undang, tetapi kita melihat insiden baru-baru ini, beberapa peserta kursus memasuki rumah ibadat bukan Islam dengan kebenaran dan tentunya dalam hal ini dakwah itu bukan satu perkara mendatangkan kekacauan ataupun pertelingkahan di antara kaum. 

“Tetapi dakwah itu satu proses untuk memberikan penerangan dan penjelasan tentang Islam, bahkan dalam konteks program baru-baru ini kita lihat dia lebih merupakan satu bentuk usaha untuk saling kenal mengenali.

“Dan tujuan mereka dibawa melawat ke kuil itu untuk mempelajari agama lain sebagai satu bekalan bagi pendakwah-pendakwah agar mereka mempunyai maklumat tentang agama-agama lain, jadi dalam hal ini saya menganggap bahawa itu bukan satu kesalahan, ” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Selasa.

Muhammad Fathi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng yang menyatakan pandangan Mufti Terengganu berhubung Muslim boleh memasuki rumah ibadat bukan Islam untuk berdakwah adalah tidak wajar dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Difahamkan, Mufti Terengganu dilaporkan mengeluarkan kenyataan sedemikian susulan video tular memaparkan program Lawatan Harmoni Terbimbing untuk guru-guru agama dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke Kuil Sri Maha Kaliamman di Kampung Kasipillay, Ipoh, Perak yang mencetuskan kebimbangan apabila seorang wanita daripada JAIPk menyifatkan terdapat banyak persamaan antara agama Hindu dan Islam. 

Susulan itu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) dilaporkan memetik Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan menyatakan walaupun peruntukan itu memberikan hak kepada setiap kumpulan agama menganut dan mengamalkan agama mereka dan tertakluk kepada Fasal (4) untuk menyebarkannya.

Bagaimanapun, katanya Fasal (4) tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan umat Islam menyebarkan agama mereka kepada bukan Islam, termasuk berdakwah di tempat ibadat bukan Islam.

Mengulas kenyataan MCCBCHST, Muhammad Fathi berkata sekatan dikenakan Fasal 4 itu sebenarnya merujuk kepada undang-undang yang melarang penyebaran apa jua fahaman atau ajaran agama lain dalam kalangan umat Islam, di mana undang-undang sedemikian wujud seumpamanya di bawah Enakmen Jenayah Syariah dan ia menjadi kesalahan di beberapa negeri.

“Jadi dalam hal ini jika ada ajaran sesat umpamanya diajar di kalangan orang Islam ia boleh dihalangi sama juga sekiranya ada mubaligh atau aktivis daripada agama lain yang cuba menyebarkan ajaran mereka di kalangan orang Islam juga boleh disekat melalui undang-undang.

“Tetapi Fasal 4 ini tidak melibatkan sekatan menyebarkan ajaran Islam, maka hak untuk menyebarkan ajaran Islam dilindungi di bawah Fasal 1 yang secara jelas memberikan tiga hak iaitu hak untuk menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama.

“Cuma dari satu sudut lain pula jika pendakwah Islam ingin menyebarkan Islam sebenarnya rumah ibadat bukan satu tempat sesuai dijadikan sasaran menyebarkan Islam kerana rumah ibadat bukan Islam itu merupakan tempat masyarakat bukan Islam mengamalkan agama mereka.

“Jadi para pendakwah boleh menyebarkan Islam di tempat lain sama ada di masjid atau tempat-tempat awam atau melalui program-program tertutup, ia merupakan satu hak dilindungi Perlembagaan tapi dalam masa sama perlu juga melihat sensitiviti di dalam mengamalkan agama masing-masing di dalam negara kita,” katanya.

Muhammad Fathi berpandangan jika ada pendakwah ingin mengunjungi tempat ibadat bukan Islam ia bukan bertujuan menyebarkan ajaran Islam, sebaliknya untuk mendapatkan maklumat dan pengetahuan bagi menambah ilmu berkaitan perbandingan agama sebagai persediaan menjadi pendakwah baik. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *