Terkini
Zaim, Ismanira tidak mengaku bersalah abai Zayn Rayyan
Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autism berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.
- Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autism berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.
- Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
- Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa secara bersama sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
- Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
- “Saya faham pertuduhan, saya tidak mengaku bersalah,” kata kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang ketika ditanya pengakuan mereka untuk direkodkan.
- Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
KUALA LUMPUR — Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autism berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 29 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa secara bersama sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan dilakukan di sekitar Jalan PJU, Damansara Damai di Petaling Jaya pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
“Saya faham pertuduhan, saya tidak mengaku bersalah,” kata kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang ketika ditanya pengakuan mereka untuk direkodkan.
Sebelum pertuduhan dibacakan, ketka ditanya jurubahasa sama ada kedua-dua tertuduh sihat atau tidak, Zaim Ikhwan memberitahu dia sihat, manakala Ismanir pula mengatakan dia tidak sihat dan muntah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat, masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Hakim mengarahkan supaya pihak terlibat dalam kes berkenaan tidak mengeluarkan kenyataan yang subjudis dan 26 Julai ditetapkan sebagai sebutan semula kes.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan datuk dan nenek Zayn Rayyan yang mati dibunuh pada 6 Disember lalu, kemungkinan akan dibebaskan pagi ini dengan jaminan polis.
Katanya, beliau dimaklumkan kedua-dua individu terbabit ditahan semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya akibat mempertahankan diri. — The Merdeka Times