Terkini
Khidmat sukarelawan guru Bahasa Inggeris dibayar kerajaan Singapura – Fadhlina
Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan, sebagaimana telahan sesetengah pihak.
- “Lantikan ini tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak. Sebaliknya ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dipetik media tempatan pada Khamis.
- Inisiatif itu beri peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi yang baik.
- “Justeru KPM menyambut baik cadangan Perdana Menteri, untuk membawa masuk sukarelawan guru terbabit bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.
KUALA LUMPUR — Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan, sebagaimana telahan sesetengah pihak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sebaliknya ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura di mana khidmat guru sukarelawan berkenaan akan dibayar kerajaan Singapura.
“Lantikan ini tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak. Sebaliknya ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura.
“Khidmat guru sukarelawan ini akan dibayar oleh kerajaan Singapura,” katanya dipetik media tempatan pada Khamis.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi yang baik.
Katanya, inisiatif sedemikian sememangnya sentiasa dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea, Australia dan Amerika Syarikat.
“Justeru KPM menyambut baik cadangan Perdana Menteri, untuk membawa masuk sukarelawan guru terbabit bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, menafikan dakwaan Malaysia berhasrat melantik guru Bahasa Inggeris dari Singapura untuk mengajar di negara ini.
Sebaliknya, Anwar menjelaskan perbincangan beliau bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong adalah berkenaan mengadakan “skim bantuan” atau melantik sukarelawan yang dibayar pemerintah negara republik itu untuk mengajar Bahasa Inggeris di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Beberapa pihak sebelum ini, termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengkritik cadangan pengambilan guru Bahasa Inggeris dari Singapura yang menjadi perbahasan sejak Rabu.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) juga antara pihak yang berharap kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut, kerana berpandangan ramai lagi tenaga tempatan mempunyai kelulusan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berminat dan layak dilantik menjadi guru bahasa Inggeris.
Katanya, kerajaan seharusnya perkasakan tenaga tempatan untuk mengisi kekurangan guru bahasa Inggeris sebelum mempertimbangkan cadangan membawa guru dari Singapura. — The Merdeka Times