Terkini
Pembekal senjata Israel sertai DSA, Malaysia pilih tidak campur tangan urusan perniagaan syarikat global
Kementerian Pertahanan memaklumkan Malaysia tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan sebarang negara tertentu susulan ada pihak tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 yang sedang berlangsung di sini sejak semalam.
- Kementerian Pertahanan memaklumkan Malaysia tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan sebarang negara tertentu susulan ada pihak tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 yang sedang berlangsung di sini sejak semalam.
- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia adalah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di negara ini.
- “Penganjuran pameran ini juga sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
- Khaled berkata pameran itu tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu, sebaliknya ia dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam.
- “Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin,” katanya.
KUALA LUMPUR — Kementerian Pertahanan memaklumkan Malaysia tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan sebarang negara tertentu susulan ada pihak tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 yang sedang berlangsung di sini sejak semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia adalah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di negara ini.
“Justeru Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.
“Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan.
“Penganjuran pameran ini juga sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Khaled berkata pameran itu tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu, sebaliknya ia dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam.
Beliau berkata pameran itu juga menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura.
Semalam, media melaporkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendesak kerajaan mengharamkan syarikat pembekal senjata dan peralatan kepada Israel daripada menyertai dan menjadi penaja platinum bagi pameran itu.
Dua syarikat dirujuk Ketua Biro Antarabangsa BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah itu adalah Lockheed Martin dan BAE yang masing-masing membekalkan senjata dan peralatan kepada rejim Israel yang sedang melakukan genosid terhadap warga Palestin, terutama di Gaza.
Saifuddin berkata keterlibatan kedua-dua syarikat itu bertentangan pendirian tegas negara dan rakyat Malaysia yang menyokong dan bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.
Mengulas lanjut, Khaled menegaskan dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional dan pendirian politik global Malaysia
“Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.
“Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin,” katanya. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/