Terkini
Indeks Kebebasan Media jatuh bukan hanya sebab Kementerian Komunikasi – Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan Kedudukan Malaysia jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 bukan disebabkan kementeriannya semata-mata.
- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata akta lain di bawah kementerian berbeza dan pendirian Malaysia terhadap beberapa isu juga mempengaruhi laporan dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) itu.
- “Sebagai contoh seperti isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), kita sedia maklum pendirian Malaysia mengenai isu tersebut. Jadi ada beberapa perkara yang perlu mengikut kesesuaian atau acuan (adat) sama ada ASEAN mahupun ketimuran.
- “Jadi laporan dikeluarkan itu bukan berkait Kementerian Komunikasi atau kebebasan media semata-mata. Ada yang melibatkan akta-akta di bawah kementerian berbeza.
- “Kalau kita lihat laporan itu pun bukanlah kayu ukur sejati, ia hanya adalah untuk kita meneliti dan mempertimbangkan jika ada tindakan-tindakan tambah baik pada masa akan datang,” katanya dipetik media tempatan pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024) di sini, hari ini.
- Media sebelum ini, melaporkan Malaysia di kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan RSF berbanding tangga ke-73 tahun lalu
KUALA LUMPUR — Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan Kedudukan Malaysia jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 bukan disebabkan kementeriannya semata-mata.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, akta lain di bawah kementerian berbeza dan pendirian Malaysia terhadap beberapa isu juga mempengaruhi laporan dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) itu.
“Sebagai contoh seperti isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), kita sedia maklum pendirian Malaysia mengenai isu tersebut. Jadi ada beberapa perkara yang perlu mengikut kesesuaian atau acuan (adat) sama ada ASEAN mahupun ketimuran.
“Jadi laporan dikeluarkan itu bukan berkait Kementerian Komunikasi atau kebebasan media semata-mata. Ada yang melibatkan akta-akta di bawah kementerian berbeza.
“Kalau kita lihat laporan itu pun bukanlah kayu ukur sejati, ia hanya adalah untuk kita meneliti dan mempertimbangkan jika ada tindakan-tindakan tambah baik pada masa akan datang,” katanya dipetik media tempatan pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024) di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Malaysia di kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan RSF berbanding tangga ke-73 tahun lalu
Kedudukan Malaysia kini menurun 34 anak tangga dengan mencatat 52.07 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu 62.83 mata.
Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua dipintas Thailand yang berada di tangga ke-87 diikuti Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).
Penurunan kedudukan Malaysia antara lain dikaitkan dengan tindakan kerajaan yang proaktif dalam menyekat hantaran atau perkongsian menyentuh sensitiviti kaum, agama dan raja, selain kritikan terhadap kerajaan.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan dirinya merupakan Menteri Komunikasi pertama yang akan bertemu dengan RSF tidak lama lagi bagi mengadakan perbincangan lanjut.
Bagaimanapun, beliau berkata setiap cadangan RSF kelak tidak semestinya diterima secara bulat-bulat dan masih memerlukan kajian mendalam berdasarkan kesesuaian pendirian Malaysia.
“RSF telah membalas ciapan saya menyatakan kesudian dan kerjasama mereka untuk berjumpa dengan saya. Tak ditentukan lagi bilakah pertemuan tersebut, tapi saya akan berhubung dengan RSF selanjutnya nanti.
“Apa-apa pun saya terima laporan itu dengan hati terbuka. Cuma ada individu menyatakan Malaysia lebih teruk daripada Israel dalam kebebasan media.
“Saya jelaskan dekat sini, kami tidak bunuh orang, kami tidak pernah menutup mana-mana media seperti yang berlaku di Gaza, Palestin. Itulah bezanya Malaysia dan Israel,” katanya. — The Merdeka Times