Terkini
Pindaan Akta 355: MCCBCHST jahil, tidak sepatutnya campuri urusan Islam – Pakar Perlembagaan
Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) tidak sepatutnya mencampuri urusan umat Islam di negara ini dengan mendakwa cadangan pindaan Akta (Bidang kuasa Jenayah) Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) tidak berperlembagaan.
- Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) tidak sepatutnya mencampuri urusan umat Islam di negara ini dengan mendakwa cadangan pindaan Akta (Bidang kuasa Jenayah) Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) tidak berperlembagaan.
- Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata Akta 355 hanya menyentuh berkenaan orang Islam sahaja, sementara Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa ke atas rakyat bukan Muslim.
- Beliau menegaskan kritikan MCCBCHST terhadap cadangan pindaan Akta 355 adalah satu bentuk campur tangan urusan hal ehwal Islam yang dinaungi Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu selaku ketua-ketua agama Islam.
- “Nampaknya MCCBCHST bukan sekadar jahil dengan prinsip agihan kuasa antara negeri dan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan bahkan tidak menghormati keputusan-keputusan mahkamah selama ini mengiktiraf kuasa DUN membuat undang-undang jenayah Syariah,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
- Beliau berkata demikian ketika merujuk artikel sebuah portal berita berbahasa Inggeris bertajuk “Cadangan pindaan Akta 355 tidak berperlembagaan kerana kesalahan jenayah syariah sudah menjadi sebahagian undang-undang jenayah sedia ada yang ditadbir Parlimen, kata majlis antara agama’ yang turut dimuat naik tangkap layar artikel itu di hantaran FBnya.
- “Jika pindaan Akta 355 disekat bermakna orang Islam menjadi warga kelas kedua dari sudut hak mendapat pembelaan undang-undang,” katanya.
KUALA LUMPUR — Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) tidak sepatutnya mencampuri urusan umat Islam di negara ini dengan mendakwa cadangan pindaan Akta (Bidang kuasa Jenayah) Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) tidak berperlembagaan.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata Akta 355 hanya menyentuh berkenaan orang Islam sahaja, sementara Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa ke atas rakyat bukan Muslim.
Beliau menegaskan kritikan MCCBCHST terhadap cadangan pindaan Akta 355 adalah satu bentuk campur tangan urusan hal ehwal Islam yang dinaungi Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu selaku ketua-ketua agama Islam.
“Dalam satu laporan Malay Mail, MCCBCHST berpendapat bahawa pindaan berkenaan tidak berperlembagaan kerana kesalahan-kesalahan Syariah telah pun ada dalam undang-undang jenayah sedia ada.
“Nampaknya MCCBCHST bukan sekadar jahil dengan prinsip agihan kuasa antara negeri dan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan bahkan tidak menghormati keputusan-keputusan mahkamah selama ini mengiktiraf kuasa DUN membuat undang-undang jenayah Syariah.
“Selain itu, MCCBCHST cuba menimbulkan ketakutan dan kebencian masyarakat bukan Islam terhadap undang-undang Islam dengan mengaitkan cadangan pindaan itu dengan undang-undang hudud seperti mencuri, merompak, zina, dan minum arak,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merujuk artikel sebuah portal berita berbahasa Inggeris bertajuk “Cadangan pindaan Akta 355 tidak berperlembagaan kerana kesalahan jenayah syariah sudah menjadi sebahagian undang-undang jenayah sedia ada yang ditadbir Parlimen, kata majlis antara agama’ yang turut dimuat naik tangkap layar artikel itu di hantaran FB beliau.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi mengingatkan bahawa pindaan Akta 355 adalah berkaitan hak asasi dan hak demokratik umat Islam di negara ini untuk bernaung di bawah undang-undang menepati kepercayaan mereka.
Katanya, Akta 355 sudah terlalu lama tidak dipinda dan sepatutnya semua pihak berlapang dada menyokong pindaan berkenaan.
“Buat masa ini masyarakat bukan Islam mendapat perlindungan undang-undang lebih baik dari masyarakat Islam dalam konteks kesalahan berkaitan urusan kekeluargaan.
“Misalnya undang-undang perkahwinan bukan Islam melalui Akta 164 memperuntukkan kesalahan sehingga 10 tahun penjara dan RM15,000 denda, sedangkan undang-undang perkahwinan Islam terikat dengan had hukuman 3 tahun penjara dan RM5000 denda.
“Jika pindaan Akta 355 disekat bermakna orang Islam menjadi warga kelas kedua dari sudut hak mendapat pembelaan undang-undang,” kata pakar perlembagaan itu.
Muhammad Fathi berkata MCCBCHST sepatutnya menghormati dan menghayati keluhuran Perlembagaan yang memberikan ruang khusus kepada Islam melalui Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan YDPA serta Raja-raja Melayu sebagai ketua negara dan negeri-negeri serta ketua agama Islam.
Beliau menegaskan propaganda jahat ekstremis anti-Islam yang berselindung di bawah nama ‘majlis perundingan agama’ itu perlu dihentikan segera kerana ia bertentangan usaha mewujudkan keharmonian beragama dalam negara.
Katanya, keharmonian tidak dibina dengan kejahilan dan kesombongan sehingga menafikan hak pihak lain mengamalkan agama sesuai kepercayaan, sebaliknya keharmonian dibina melalui sikap saling memahami dan kesediaan mengamalkan agama sesuai kepercayaan.
“Sepatutnya keharmonian dibina melalui sikap saling memahami dan kesediaan untuk berbincang tanpa membuat bantahan melulu dengan alasan yang rapuh,” kata Muhammad Fathi. — The Merdeka Times