Antarabangsa
Peluru berpandu Houthi: Serangan maut pertama di laluan kapal Laut Merah
Sekurang-kurangnya dua pelaut maut dalam serangan kumpulan Houthi Yaman semalam, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

- Sekurang-kurangnya dua pelaut maut dalam serangan kumpulan Houthi Yaman pada Rabu, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
- Insiden berlaku 50 batu nautika di barat daya pelabuhan Aden, Yaman itu adalah serangan fatal pertama kumpulan yang didukung Iran itu ke atas kapal yang melalui kawasan Laut Merah sejak perang di Gaza pada 7 Oktober lalu.
- Kapal pengangkut pukal berbendera Barbados, True Confidence dalam perjalanan melalui Teluk Aden apabila disasarkan peluru berpandu Houthi, memaksa kru yang terselamat meninggalkan kapal itu, kata laporan dipetik Fox News.
- Jurucakap tentera Houthi, Brigedier Jeneral Yahya Saree di platform X pada Rabu berkata, serangan terhadap True Confidence dilakukan untuk “membalas pencerobohan Amerika-British terhadap negara kita”.
- Media sebelum ini melaporkan Houthi menyasarkan kapal yang ada kaitan dengan Israel di Laut Merah dan perairan sekitarnya sejak November lalu sebagai tanda solidariti protes ke atas serangan rejim zionis ke atas Gaza.
Sekurang-kurangnya dua pelaut maut dalam serangan kumpulan Houthi Yaman semalam, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
Insiden berlaku 50 batu nautika di barat daya pelabuhan Aden, Yaman itu adalah serangan fatal pertama kumpulan yang didukung Iran itu ke atas kapal yang melalui kawasan Laut Merah sejak perang di Gaza pada 7 Oktober lalu.
Kapal pengangkut pukal berbendera Barbados, True Confidence dalam perjalanan melalui Teluk Aden apabila disasarkan peluru berpandu Houthi, memaksa kru yang terselamat meninggalkan kapal itu, kata laporan dipetik Fox News.
Dua pegawai AS bercakap kepada AP dengan syarat nama mereka tidak disiarkan kerana tidak mempunyai kebenaran bercakap secara terbuka berkata, serangan peluru berpandu balistik anti-kapal itu membunuh dua anak kapal dan mencederakan enam yang lain.
Kapal itu didaftarkan di Liberia tetapi dilaporkan dimiliki syarikat multinasional berpangkalan di AS iaitu Oaktree Capital Management LLC, lapor RT.
Kapal perang AS dan kapal Tentera Laut India yang berada di tempat kejadian dilaporkan cuba membantu dan menyelamat.
Jurucakap tentera Houthi, Brigedier Jeneral Yahya Saree di platform X pada Rabu berkata, serangan terhadap True Confidence dilakukan untuk “membalas pencerobohan Amerika-British terhadap negara kita”.
Media sebelum ini melaporkan Houthi menyasarkan kapal yang ada kaitan dengan Israel di Laut Merah dan perairan sekitarnya sejak November lalu sebagai tanda solidariti protes ke atas serangan rejim zionis ke atas Gaza.
AS dan UK, yang juga sekutu kuat Israel, dilaporkan melancarkan serangan udara “pertahanan diri” ke atas Houthi di wilayah Yaman. — The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login