Terkini
Tidak dapat pengampunan penuh, Najib akan buat permohonan baharu – Shafee
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan memfailkan permohonan pengampunan baharu ke atas hukuman dihadapinya membabitkan kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.
- Peguam bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan permohonan itu dibuat disebabkan anak guamnya tidak mendapat keadilan ketika perbicaraan dan semasa proses Lembaga Pengampunan.
- Muhammad Shafee berkata anak guamnya akan mengemukakan permohonan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selaku Yang di-Pertuan Agong terkini.
- “Saya mesti ulangi, anak guam saya tidak benar-benar gembira dengan keputusan dia tidak mendapat pengampunan penuh,” katanya dipetik Astro Awani di lobi Kompleks Mahkamah pada Rabu.
- Muhammad Shafee juga mendakwa pihaknya mempunyai hujah mencukupi, termasuk beberapa hujah baharu untuk menguatkan permohonan berkenaan.
KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan memfailkan permohonan pengampunan baharu ke atas hukuman dihadapinya membabitkan kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan permohonan itu dibuat disebabkan anak guamnya tidak mendapat keadilan ketika perbicaraan dan semasa proses Lembaga Pengampunan.
Muhammad Shafee berkata anak guamnya akan mengemukakan permohonan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selaku Yang di-Pertuan Agong terkini.
“Saya mesti ulangi, anak guam saya tidak benar-benar gembira dengan keputusan dia tidak mendapat pengampunan penuh.
“Kami sedang menunggu arahan daripada anak guam saya untuk membuat permohonan terbaharu.
“Sudah tentu saya tidak mahu terlalu cepat kerana Yang di-Pertuan Agong baru dilantik, jadi itu adalah satu kriteria.
“Dan kriteria lain ialah saya mahu menunggu arahan anak guam saya untuk mempertimbangkan amalan lain,” katanya dipetik Astro Awani di lobi Kompleks Mahkamah pada Rabu.
Muhammad Shafee juga mendakwa pihaknya mempunyai hujah mencukupi, termasuk beberapa hujah baharu untuk menguatkan permohonan berkenaan.
Pada 2 Februari lalu, media melaporkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.— The Merdeka Times