Terkini
Naik tarafkan Akta 355, tidak munasabah had denda kekal RM5,000 – Asyraf Wajdi
Jawatankuasa khas kaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-undang Islam diharapkan dapat mengesyorkan kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan supaya menaik-tarafkan Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang tertangguh lama.

- Jawatankuasa khas kaji kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-undang Islam diharapkan dapat mengesyorkan kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan supaya menaik-tarafkan Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang tertangguh lama.
- Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata antara cadangan penting ialah menaikkan had hukuman denda maksimum daripada RM5,000 kepada RM100,000.
- “Setelah 40 tahun adalah tidak munasabah had denda masih kekal pada RM5,000 memandangkan status ekonomi dan pendapatan rakyat sudah jauh berubah.
- “Banyak kes suami lebih rela bayar denda RM5,000 daripada kena bayar nafkah atau tuntutan harta sepencarian yang berjumlah puluhan atau ratusan ribu kepada isteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
KUALA LUMPUR — Jawatankuasa khas kaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-undang Islam diharapkan dapat mengesyorkan kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan supaya menaik-tarafkan Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang tertangguh lama.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata antara cadangan penting ialah menaikkan had hukuman denda maksimum daripada RM5,000 kepada RM100,000.
Beliau berkata kali terakhir Akta 355 dipinda adalah pada tahun 1984 iaitu antara lainnya menaikkan hukuman daripada had denda maksimum RM1,000 kepada RM5,000.
“Setelah 40 tahun adalah tidak munasabah had denda masih kekal pada RM5,000 memandangkan status ekonomi dan pendapatan rakyat sudah jauh berubah.
“Contohnya kes-kes melibatkan penafian hak ke atas wanita atau isteri yang menuntut nafkah atau harta sepencarian apabila ditinggalkan suami kerana kahwin lain dan sebagainya.
“Banyak kes suami lebih rela bayar denda RM5,000 daripada kena bayar nafkah atau tuntutan harta sepencarian yang berjumlah puluhan atau ratusan ribu kepada isteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi berkata kes sebegitu merupakan contoh ketidak-adilan kepada wanita lantaran kekangan perundangan seperti had bidang kuasa hukuman mahkamah syariah.
Pada 30 Oktober lalu, media melaporkan Dewan Rakyat diberitahu bahawa pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) akan mengambil kira cadangan penggubalan Akta Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata perkembangan terkini pindaan Akta 355 itu masih dalam proses libat urus dengan pihak terlibat. — The Merdeka Times
