Terkini
AGC bantah permohonan Aman Palestin berhubung isu akaun dibekukan
Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membantah permohonan kebenaran Aman Palestin Berhad untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung akaun bank dibekukan.

- Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membantah permohonan kebenaran Aman Palestin Berhad untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung akaun bank dibekukan.
- Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud mengesahkannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh pada Selasa.
- Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan perkara itu harus didengarkan segera kerana terdapat keperluan mendesak untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas disebabkan konflik di Gaza.
- “Kita telah failkan perakuan segera, kita perlu segerakan pendengaran ini seperti seluruh dunia tahu bantuan amat diperlukan,” katanya dipetik Astro Awani ketika bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
- Aman Palestin Berhad sebelum ini dilaporkan memfailkan semakan kehakiman (ex parte) terhadap SPRM dan Kerajaan Malaysia pada Rabu lalu.
KUALA LUMPUR — Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membantah permohonan kebenaran Aman Palestin Berhad untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung akaun bank dibekukan.
Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud mengesahkannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh pada Selasa.
Pada masa sama, Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali turut mengesahkan perkara itu ketika bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Rafique menegaskan perkara itu harus didengarkan segera kerana terdapat keperluan mendesak untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas disebabkan konflik di Gaza.
“Kita telah failkan perakuan segera, kita perlu segerakan pendengaran ini seperti seluruh dunia tahu bantuan amat diperlukan.
“Jadi disebabkan tidak ada sebarang jawapan, hari ini kita hadir mahkamah pendengaran jam 9 pagi, kami dapat pengesahan, bantahan akan difailkan Jabatan Peguam Negara,” katanya dipetik Astro Awani.
Beliau menyatakan dengan jelas kepada pihak SPRM bahawa anak guamnya, Aman Palestin sememangnya memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat SPRM sejak Oktober tahun lalu.
“Namun Aman Palestin sememangnya memerlukan dana mereka dikeluarkan segera.
“Ini kerana terdapat badan NGO besar di Turki, Syria, Yaman dan Lubnan yang sudah bersiap sedia untuk menerima dana tersebut,” kata Rafique.
Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Februari ini untuk mendengar permohonan kebenaran Aman Palestin.
Aman Palestin Berhad sebelum ini dilaporkan memfailkan semakan kehakiman (ex parte) terhadap SPRM dan Kerajaan Malaysia pada Rabu lalu.
Rafique berkata ia dilakukan susulan SPRM tidak menjawab sebarang surat diutuskan ke suruhanjaya itu bertarikh 27 November 2023 dan 9 Januari 2024, yang merayu dan memohon pertimbangan bagi akaun-akaun pertubuhan bukan kerajaan itu dinyahbekukan.
Beliau berkata akaun-akaun itu dimohon untuk dinyahbekukan bagi tujuan bantuan kewangan dihantar terus kepada mangsa keganasan perang di Palestin di mana krisis kemanusiaan terus meruncing dan ratusan mati setiap hari. – The Merdeka Times
