Terkini
Jurucakap asatizah akan dilantik tangani ajaran Islam dipesongkan – Fahmi Fadzil
Kerajaan MADANI bercadang melantik jurucakap daripada kelompok asatizah atau pemimpin agama untuk menangani pandangan dan ajaran Islam yang dipesongkan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata jurucakap berkenaan akan mempromosikan pemahaman Islam lebih bernuansa kepada masyarakat berbeza di seluruh dunia.
- “Mereka akan mengadakan libat urus dengan kumpulan orang berbeza untuk menunjukkan kepada mereka, Islam bukan apa yang didokong sesetengah orang ini (Ahli Parlimen pembangkang),” katanya dipetik Free Malaysia Today menerusi program The Breakfast Brief BFM hari ini.
- Beliau mengulas pertanyaan hos program itu, Keith Kam berhubung keberkesanan Kerajaan Perpaduan memperjuangkan ekonomi, tadbir urus baik dan keterangkuman dalam menghadapi parti pembangkang yang menggariskan cita-cita monoetnik dan mono agama.
KUALA LUMPUR — Kerajaan MADANI bercadang melantik jurucakap daripada kelompok asatizah atau pemimpin agama untuk menangani pandangan dan ajaran Islam yang dipesongkan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, jurucakap berkenaan akan mempromosikan pemahaman Islam lebih bernuansa kepada masyarakat berbeza di seluruh dunia.
“Mereka akan mengadakan libat urus dengan kumpulan orang berbeza untuk menunjukkan kepada mereka, Islam bukan apa yang didokong sesetengah orang ini (Ahli Parlimen pembangkang),” katanya dipetik Free Malaysia Today menerusi program The Breakfast Brief BFM hari ini.
Beliau mengulas pertanyaan hos program itu, Keith Kam berhubung keberkesanan Kerajaan Perpaduan memperjuangkan ekonomi, tadbir urus baik dan keterangkuman dalam menghadapi parti pembangkang yang menggariskan cita-cita monoetnik dan mono agama.
Fahmi menyifatkan sesetengah wakil rakyat pembangkang mempunyai pandangan Islam melampau, menyamai sejarah Khawarij yang mempunyai sikap “lebih suci daripada kamu” dan mengkritik individu tidak seagama kepercayaan mereka.
Katanya, pihak pembangkang mendakwa Islam terancam dan kelompok Melayu hilang hak mereka dengan menjadikan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai alasan.
Beliau berkata kerajaan perlu menunjukkan “ajaran Islam tidak semestinya sama seperti ditunjukkan pemimpin politik dari pihak sana”. — The Merdeka Times
