Kolumnis
Apa kata Islam: Mencederakan diri sendiri bukti cinta Tuhan?
SEPANJANG persejarahan, upacara mencederakan diri sendiri sama ada melukakan diri dengan pisau dan pedang, mencucuk tubuh badan dengan benda tajam atau memaku tangan seringkali mendapat perhatian dunia sebagai cara penyembahan bersifat radikal oleh sesetengah kelompok penganut agama.
SEPANJANG persejarahan, upacara mencederakan diri sendiri sama ada melukakan diri dengan pisau dan pedang, mencucuk tubuh badan dengan benda tajam atau memaku tangan seringkali mendapat perhatian dunia sebagai cara penyembahan bersifat radikal oleh sesetengah kelompok penganut agama.
Mereka beranggapan dengan pengorbanan mencederakan tubuh sendiri adalah simbolik cinta mereka kepada Tuhan dan salah satu cara mendekatkan diri dengan Tuhan.
Ini kerana bagi mereka, mencederakan diri sendiri dan menghadapi kesakitan itu dikatakan dapat mengalihkan perhatian mereka daripada keseronokan dunia. Justeru membuatkan mereka lebih menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Tuhan.
Pengkaji Barat, David F. Tinsley dalam bukunya The Scourge and the Cross malah mengatakan sesetengah tradisi agama percaya bahawa semakin besar kesakitan itu, semakin dekat mereka kepada Tuhan.
Sehingga kini, tradisi radikal itu masih lagi diteruskan dalam pengamalan upacara Ulangan Penyaliban oleh sebahagian Kristian Katolik di Filipina, upacara Kāvadi Āttam ketika Thaipusam oleh sebahagian masyarakat Tamil beragama Hindu dan upacara Nine Gods Emperor Festival juga sebahagian masyarakat Cina beragama Tao.
Upacara Ulangan Penyaliban
Di Filipina, terdapat sekelompok penganut agama Kristian Katolik melakukan ritual untuk mengalami semula penyaliban dan penyeksaan yang dikatakan dialami Jesus Christ sebelum disalib.
Ritual itu dilakukan pada hari Good Friday yang merupakan hari ulang tahun Jesus Christ disalibkan mengikut kepercayaan agama Kristian.
Para peserta yang sukarela untuk disalibkan, seringkali atas memenuhi nazar akan mencambuk diri mereka sendiri dan melakonkan semula babak-babak daripada Bible bagi menebus dosa mereka.
Mereka akan dipakaikan mahkota berduri yang dibuat daripada ranting kayu dan kemudiannya akan memikul kayu salib di belakang sambil berjalan sepanjang satu kilometer.
Selepas itu, mereka akan disalib dan dipaku di bahagian tapak tangan dan kaki persis seperti yang berlaku terhadap Jesus Christ.
Bagi mereka, mengulangi pengamalan penyaliban semula itu adalah sebagai bukti keimanan terhadap Jesus Christ iaitu dengan cara merasai sendiri penderitaan dialami Tuhan mereka itu.
Namun, amalan upacara itu mendapat tentangan daripada pemimpin-pemimpin gereja tempatan.
Kata mereka, pelaksanaan ritual itu bukanlah amalan yang diperakui institusi Gereja Katolik di Vatican City, pelaksanaan ritual itu pada hakikatnya hanyalah sebuah amalan tempatan yang dilakukan penganut fanatik.
Kāvadi Āttam
Kāvadi Āttam adalah satu ritual keagamaan yang dilaksanakan masyarakat Tamil yang beragama Hindu pada perayaan Thaipusam.
Bagi penganut Hindu, upacara Kāvadi hakikatnya adalah upacara pengabdian teragung yang dilakukan para pemuja Dewa Murugan bagi tujuan menunaikan nazar dan menawarkan kesyukuran.
Ritual yang melibatkan pemakaian kāvadi iaitu sebuah rangka separuh bulatan yang memiliki cangkuk-cangkuk yang disematkan pada badan itu dipercayai berasal daripada kisah mitologi Hindu tentang Idumban, iaitu satu asura yang menjadi penyembah kepada Dewa Murugan yang juga merupakan pembawa kāvadi pertama.
Selain daripada menyematkan cangkuk-cangkuk kāvadi yang banyak pada tubuh, para pelaku ritual kāvadi āttam juga kebiasaannya akan menusukkan lembing ataupun vel Murugan bersaiz kecil di pipi mereka semasa melaksanakan ritual ini.
Dalam satu dokumentari ‘Thaipusam: Piercing Your Body to Find Bliss’ di laman YouTube, salah seorang pembawa kāvadi mengatakan ritual itu adalah sebagai satu manifestasi cinta penyembah kepada Dewa Murugan walaupun ianya menyakitkan.
“Sama seperti apabila kamu mempunyai isteri atau teman wanita, kamu ingin memberinya hadiah istimewa yang tidak pernah orang lain berikan. Kerana kamu hendak tunjuk betapa istimewanya mereka kepada kamu. Bagi saya, ritual kāvadi ini juga diibaratkan seperti itu,” kata pembawa Kāvadi yang bernama Kumar.
Nine Gods Emperor Festival
Perayaan Sembilan Maharaja Dewa atau dikenali sebagai Kow Wong Yeh disambut selama sembilan hari oleh penganut Tao. Ia disambut pada hari kesembilan pada bulan kesembilan dalam kalender lunar Cina.
Perayaan itu didedikasikan kepada sembilan anak lelaki Tou Mu, Dewi Bintang Utara, yang dipercayai mengawal kehidupan akhirat.
Anak-anak lelakinya telah dituhankan sebagai Ren Huang (kedaulatan manusia) yang dikatakan mempunyai keupayaan untuk menyembuhkan penyakit, memberkati penyembah dengan kekayaan dan kemakmuran.
Semasa perayaan itu berlangsung, sebahagian dari penganut Tao akan bertindik atau mencucuk pelbagai objek keras serta tajam pada muka mereka seperti pisau, lembing, jarum dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, mereka akan melakukan pelbagai upacara seperti berjalan di atas api dan memasukkan tangan ke dalam minyak yang mendidih.
Bagi sesetengah penganut Tao, mencederakan diri sendiri adalah simbolik pengabdian mereka terhadap kepercayaan Tao.
Setiap titisan darah daripada aksi yang menggerunkan itu dikatakan mampu menghapuskan dosa individu tersebut dan bekas lukanya pula dipercayai tanda kesucian jiwa, pengabdian dan kasih sayang kepada Tuhan.
Apa kata Islam?
Tiada sebarang ajaran dalam Islam yang membenarkan perlakuan mencederakan diri sendiri demi mendapatkan keredhaan Tuhan.
Sebaliknya, Islam mengajar cara yang mudah diikuti bagi manusia yang hendak menzahirkan rasa cinta mereka kepada Tuhan ataupun menebus dosa-dosa tanpa perlu menyakiti tubuh sendiri. Sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Ali-Imran, 3: 31.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Ini bermaksud segala amal ibadah, amal kebajikan dan amal kebaikan, mestilah bersandarkan anjuran Allah dan RasulNya.
Maka, Islam turut menggariskan bahawa hukum menyakiti diri sendiri adalah haram di sisi Islam walaupun ia ditafsir macam mana sekalipun untuk tujuan ibadat ataupun bernazar. Ia tetap tidak dibenarkan sama sekali.
Pernah diriwayatkan ketika Rasulullah ﷺ sedang memberi khutbah tentang seorang lelaki yang berlebihan dalam bernazar:
“Ketika Nabi ﷺ menyampaikan khutbah, baginda melihat seorang lelaki berdiri di bawah terik matahari. Baginda bertanya “Mengapa lelaki itu berdiri?”. Para sahabat menjawab, “Dia, Abu Israil yang bernazar untuk berdiri, tidak akan duduk, tidak akan mencari tempat berteduh, tidak akan berbicara, dan akan berpuasa”. Baginda menyuruh: “Suruhlah dia berbicara, berteduh, duduk dan menyempurnakan puasanya.” (Sunan Abu Daud, no 3300)
Hanya perilaku ini sahaja Nabi ﷺ sudah melarang, apatah lagi melakukan ibadat secara melampau dan berlebih-lebihan sehingga mencederakan diri sendiri. Rasulullah ﷺ pernah bersabda tentang peribadatan:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
“Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.” (Riwayat Ahmad, no 2865)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) pasti kamu akan tewas.” (Sahih Bukhari, no 39) – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.